PERSEKUTUAN Bolasepak Antarabangsa (FIFA) melalui sekretariatnya akan memulakan siasatan terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Menerusi alasan penuh keputusan FIFA berkenaan penolakan rayuan kes pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan Harimau Malaya, FIFA menjelaskan siasatan tersebut bertujuan mengenal pasti individu yang bertanggungjawab mengenai pemalsuan dokumen tersebut.
“Setelah mencapai kesimpulan ini, jawatankuasa merasakan perlu untuk membuat beberapa kenyataan tambahan. Berdasarkan bukti yang dikemukakan dan hasil prosiding ini, jawatankuasa mendapati terdapat alasan kukuh untuk memulakan siasatan lanjut selaras dengan Artikel 30, 35 dan 55(1)(f) serta (2) FDC.
“Sehubungan itu, jawatankuasa mengarahkan sekretariat mengambil langkah segera untuk melancarkan siasatan rasmi terhadap operasi dalaman FAM.
“Siasatan ini hendaklah bertujuan mengenal pasti individu yang bertanggungjawab atas pemalsuan dokumen; menilai kecukupan serta keberkesanan mekanisme pematuhan dan tadbir urus dalaman FAM; serta menentukan sama ada tindakan disiplin tambahan perlu dikenakan terhadap pegawai FAM,” kata FIFA.
Menurut FIFA, sebagai fokus awal, siasatan tersebut hendaklah meneliti peranan Setiausaha Agung FAM dan dua ejen berlesen FIFA yang dinamakan dalam prosiding iaitu Nicolás Puppo dan Frederico Moraes.
“Penglibatan mereka menimbulkan kebimbangan serius yang memerlukan penelitian terperinci.
“Selari dengan itu, Jawatankuasa mengarahkan sekretariat memulakan siasatan berasingan berhubung penurunan pemain tidak layak dalam tiga perlawanan persahabatan yang dirujuk dalam prosiding ini.
“Siasatan ini hendaklah menentukan keadaan yang membolehkan sebahagian pemain terlibat, serta menilai sama ada hukuman tambahan adalah wajar,” katanya.