KUALA LUMPUR – Radio Televisyen Malaysia (RTM) menegaskan episod 22 siri animasi 'Santiago of the Seas' tidak mengandungi sebarang elemen yang boleh ditafsir sebagai mempromosikan hubungan sejenis.
Bagaimanapun menerusi kenyataannya, RTM telah menghentikan siaran animasi berkenaan untuk membuat penelitian lanjut keseluruhan kandungan siri tersebut bagi memastikan tiada elemen yang boleh menimbulkan keraguan atau sensitiviti masyarakat.
“Berdasarkan laporan Penilaian Kandungan dan semakan yang telah dilaksanakan, tiada perlakuan atau kemesraan yang menggambarkan hubungan pasangan sejenis, mahupun sebarang elemen yang menjurus ke arah itu," katanya pada Isnin.
Tegas saluran televisyen milik kerajaan itu, pihaknya kekal komited untuk memastikan semua kandungan yang disiarkan mematuhi etika penyiaran dan tidak menimbulkan ketidaksenangan mana-mana pihak.
"Sehubungan dengan itu, RTM memohon kerjasama semua pihak untuk tidak menimbulkan spekulasi yang tidak wajar serta merujuk terus kepada RTM bagi mendapatkan maklumat lanjut," jelasnya.
Terdahulu tular dakwaan siri animasi yang disiarkan jam 10 pagi Ahad itu mengandungi babak LGBT sekali gus menuntut penjelasan kerajaan berhubung perkara itu.