NEW YORK - Pemain pertahanan pasukan American football New York Jets, Kris Boyd kini berada dalam keadaan kritikal selepas ditembak dalam satu insiden di Midtown Manhattan awal pagi Ahad.
Menurut Polis New York (NYPD), Boyd, 29, mengalami kecederaan parah di bahagian abdomen selepas berlaku pertengkaran di luar sebuah restoran Asia di West 38th Street, berhampiran Seventh Avenue, sekitar jam 2 pagi.
Beliau segera dikejarkan ke Hospital Bellevue dan dilaporkan dalam keadaan kritikal tetapi stabil.
Boyd yang menyertai Jets pada Mac lalu dan kini berada dalam senarai kecederaan sepanjang musim ini dipercayai bersama sekumpulan rakan ketika insiden berlaku.
Dua das tembakan dilepaskan selepas pertikaian menjadi ganas, menurut sumber penguat kuasa undang-undang.
Setakat ini, tiada tangkapan dibuat dan siasatan masih dijalankan.
“Kami sedar akan situasi melibatkan Kris Boyd dan tidak akan memberikan sebarang komen lanjut buat masa ini,” kata pihak New York Jets dalam satu kenyataan ringkas. - Awani