SUNGAI PETANI - Seorang guru berdepan detik cemas setelah menyedari seekor ular sawa batik seberat kira-kira 60 kilogram bersembunyi di siling tandas rumahnya dekat Taman Bandar Baru PKNK, di sini pada Rabu.
Menurutnya, kejadian sekitar jam 4 petang itu disedari anak perempuan berusia 15 tahun yang baru pulang dari sekolah memaklumkan bahawa siling tandas pecah hingga menimbulkan rasa takut untuk menggunakannya.
“Waktu itu saya ada mesyuarat dan anak hantar gambar siling yang terjatuh. Sebaik tiba di rumah, saya terus periksa tandas, pada bahagian siling yang pecah itu kelihatan seperti kain batik.
"Saya hairan bagaimana kain batik boleh berada atas siling sebelum anak gunakan kamera telefon untuk zoom kawasan itu, masa itu jelas kelihatan badan ular,” katanya.
Dia kemudian menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi memohon bantuan menurunkan reptilia berkenaan namun hanya menyedari saiznya yang agak besar ketika ular tersebut terjatuh dari siling.
“Ketika ular sawa batik itu ditarik keluar dan jatuh dari atas siling, saya terkejut kerana saiznya sangat besar, ingatkan ular biasa... tak pernah saya lihat ular sebesar itu depan mata... besar sungguh sampai saya jerit anakonda.
“Saya bersyukur kami sedar lebih awal, tak dapat bayang kalau ular sebesar itu sudah masuk ke dalam rumah,” jelasnya.
Katanya, ular itu kemungkinan menjalar masuk melalui pokok durian belanda di belakang rumah setelah menyedari pasu bunga terbalik dua hari sebelum kejadian.
“Ini pertama kali ular masuk rumah. Di belakang rumah, ada kawasan paya, mungkin datang dari situ. Saya terpaksa cuci lantai dan karpet sebab ada bau hanyir,” jelasnya.
Menurutnya, kejadian itu membuatkan dirinya dan dua anak trauma serta sentiasa berhati-hati setiap kali mahu ke tandas.