MACHANG – Dua lelaki termasuk seorang pesara bomba maut dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan sebuah kereta di Kilometer 4.4 Jalan Machang–Pasir Puteh, berhampiran Stesen Minyak Petronas Sungai Emas, di sini pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.25 petang itu, mangsa yang terkorban ialah Mokhtar Mohd Nor, 67, yang memandu Perodua Kelisa serta penunggang motosikal Yamaha Y15ZR, Mohamad Fahimi Mohd Daud @ Mohd Hanafi, 34.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Ahmad Shafiki Hussin berkata, siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang Mohamad Fahimi datang dari arah Pasir Puteh menuju ke Machang melalui jalan lurus.
“Sebaik tiba di lokasi, kereta yang dipandu warga emas berkenaan dipercayai keluar dari simpang di sebelah kiri untuk masuk ke simpang kanan.
“Penunggang motosikal tidak sempat mengelak lalu merempuh kenderaan tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Tambahnya, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Kami meminta saksi atau mana-mana individu yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan,” katanya.
Maklumat boleh disalurkan kepada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Machang di talian 09-975 1222.