Dua maut dalam kemalangan berasingan di Melaka

Iklan
Lokasi kemalangan membabitkan sebuah bas dengan kereta di Jalan Krubong ke Sungai Badau, Melaka pada Ahad.

MELAKA - Dua kemalangan maut dilaporkan berlaku di dua lokasi berlainan di negeri ini pada pagi Ahad yang mana masing-masing meragut nyawa seorang mangsa.

Kejadian pertama berlalu di Jalan Krubong ke Sungai Badau membabitkan insiden bas bertembung sebuah Toyota GR mengorbankan seorang lelaki berusia 26 tahun.

Iklan
Iklan

Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheng menerima panggilan pada jam 7.40 pagi bergegas ke lokasi sebelum tiba kira-kira tujuh minit kemudian.

Komander Operasi, PBK II (TBK I) Mohd Norsyah Salleh berkata, sebaik tiba pasukannya mendapati dua mangsa lelaki tersepit dalam kenderaan.

Iklan

“Seorang mangsa lelaki berusia 34 tahun yang juga pemandu bas ditemui cedera akibat tersepit manakala seorang lagi mangsa lelaki 26 tahun (pemandu Toyota GR) disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak perubatan.

“Kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.57 pagi,” katanya.

Iklan

Keadaan kereta yang terbabas di KM 219 Lebuhraya PLUS arah selatan.

Dalam kejadian berasingan di kilometer (KM) 219 Lebuhraya PLUS arah selatan, seorang lelaki berusia 25 tahun maut selepas kereta Perodua Myvi dipandunya terbabas.

BBP Alor Gajah menerima panggilan kecemasan pada jam 9.44 pagi sebelum tiba di lokasi enam minit kemudian bersama pasukan FRT, EMRS dan RIM.

Komander Operasi, PBK II Muhammad Nor Fawzal Samsunahar berkata, mangsa ditemui terperangkap di dalam kenderaan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan KKM.

“Pasukan PKO menjalankan operasi mengeluarkan mangsa sebelum menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Selepas memastikan kawasan selamat, anggota kembali semula ke balai.

“Operasi turut dibantu dua anggota Polis Bantuan PLUS dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.49 pagi,” katanya.