PRN Sabah: Bekas Presiden PKS calon paling tua

Iklan
Peta DUN PRN Sabah.

KUALA LUMPUR - Bekas Presiden Parti Kebangsaan Sabah (PKS) Uling @ Thomas Anggan muncul calon paling tua pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17. 

Thomas, 86, akan bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bingkor yang dimenangi Robert Tawik @ Nordin daripada Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada PRN lepas dengan majoriti 5,070 undi.

Iklan
Iklan

Di DUN Bingkor, Thomas akan berdepan saingan 10 penjuru termasuk daripada penyandang yang kini bertanding sebagai calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Robert Selain Kennedy Jie John @ Kenn (Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu-UPKO), Solzah Sual (Parti Maju Sabah-SAPP), Haryady Antutu (Pertubuhan Gemilang Anak Sabah-GAS), Benedict Martin Gunir (Warisan) dan Kenolee Justine (Parti Impian Sabah-PIS).

Thomas juga akan dicabar Niklos Ongoh dari Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Mohd Ishak Ayub (STAR) dan seorang calon Bebas Ahamin Salim.

Iklan

DUN Bingkor yang terletak dalam Parlimen Keningau mempunyai 31,305 pemilih berdaftar pada PRN kali ini.

Sementara itu, Mohd Syafiq Iqhmal Saharudin yang mewakili PKS muncul calon paling muda pada PRN kali ini dan bertanding di DUN Silam yang dimenangi Datu Dumi Masdal dari Warisan pada pilihan raya lepas. 

Iklan

Mohd Syafiq, 24, berdepan saingan sembilan penjuru pada PRN ke-17 antaranya Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Dr Mohammad Yusof Apdal (Warisan).

Dia juga akan berdepan calon Barisan Nasional (BN) Musa Mabul, Mizma Appehdullah (GRS), Borkes @ Balkis Kalinggalan (PN), Abd Halim Sidek Gulam Hassan (Pakatan Harapan), Mohammad Enriquez (Parti Maju Sabah-SAPP) dan Brahim Bisel (PIS).

Pada PRN ke-16 tahun 2020, calon termuda berumur 22 tahun di DUN Tandek, manakala calon tertua berumur 75 tahun bertanding di DUN Bugaya.

PRN kali ini menyaksikan sebanyak 71 daripada 596 calon bertanding adalah wanita dengan Warisan menghantar jumlah calon wanita terbanyak sebanyak sembilan orang.

SPR menetapkan tarikh pengundian awal bagi PRN Sabah pada 25 November dan hari pengundian pada 29 November.