PRN Sabah: DUN Tulid saksi saingan 14 penjuru, paling sengit setakat ini

Iklan
Rufinah (kiri) antara calon yang berentap dalam saingan 14 penjuru di kerusi DUN Tulid pada PRN Sabah ini. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR - Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tulid menyaksikan pertembungan paling sengit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 apabila 14 calon disahkan bertanding di kawasan itu selepas proses penamaan calon selesai pada Sabtu. 

Antara yang bertanding ialah Rufinah Pengeran daripada Pakatan Harapan (PH), Vinson Rusikan (Parti Kebangsaan Sabah - PKS), Lucia Khing (Parti Warisan - Warisan), Datuk Everitus Gungkit (Parti Solidariti Tanah Airku - STAR), Mohd Khairil Abdullah (Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu - UPKO), Ancis@Rayner Francis Udog (Parti Impian Sabah - PIS), Jufina Dimis (Parti Rumpun Sabah) dan Dr Aisat Ellik Igau Inggau (Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat - KDM).

Iklan
Iklan

Enam calon Bebas iaitu Suman @ Sunsunah Yasambun, Clarence Carter Maraat, Edwin Laimin, Jordan Jude Ellron, Engah Sintan @ Dahlan Abdullah dan Lautis @ Laulis Anggang turut bertanding di DUN Tulid yang pertama kali dipertandingkan pada 2020.

DUN Tulid mempunyai 16,551 pengundi dan pada PRN Sabah Ke-16, kerusi itu dimenangi oleh Flovia Ng daripada STAR dengan majoriti 544 undi.

Iklan

Tiga lagi DUN turut mencatat persaingan sengit iaitu Bandau, Tamparuli dan Inanam yang masing-masing menyaksikan pertembungan 13 penjuru manakala Banggi mencatat pertandingan 12 penjuru.

Enam DUN mencatat persaingan 11 penjuru iaitu Bengkoka, Tanjong Kapor, Karambunai, Tanjung Keramat, Balung dan Pintasan yang menyaksikan penyertaan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Iklan

Bekas Speaker Dewan Rakyat itu yang bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS), berdepan calon Barisan Nasional (BN) Tadzul Radim, Awang Salleh Makmud (Perikatan Nasional - PN), Raplin Samat (STAR), Abdullah Otong (Warisan), Lomog Rudin @Efejus Rudin (PIS), Almudin Kiada (KDM) serta empat calon Bebas iaitu Syarif Mohd Shukree Danchingan, Datuk Fairuz Renddan, Tajuddin Padis dan Mohd Rizal Saiman. 

Pertandingan enam penjuru pula yang merupakan persaingan paling banyak dicatat pada PRN kali ini, membabitkan 13 DUN iaitu Pitas, Matunggong, Usukan, Darau, Likas, Kuala Penyu, Lumadan, Sungai Manila, Sekong, Lamag, Kunak, Apas dan Sri Tanjong.

Persaingan paling sedikit direkodkan di DUN Senallang dan DUN Merotai masing-masing membabitkan empat penjuru.

Turut menjadi tumpuan ialah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor yang berdepan pertandingan lima penjuru di DUN Sulaman iaitu kerusi yang disandang oleh Pengerusi GRS itu sejak tahun 1990.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 November ini sebagai hari pengundian manakala undi awal pada 25 November. - Bernama