BACHOK – Seorang lelaki yang dipercayai individu dalam video tular menampar dan menghempas seekor beruk jantan telah ditahan polis bersama seorang lagi rakannya yang merakam kejadian terbabit.
Kedua-dua suspek berusia 24 dan 28 tahun itu ditahan pada jam 10 malam Jumaat dalam serbuan di kawasan Jelawang, di sini susulan aduan orang ramai selepas rakaman tersebut mencetuskan kemarahan warganet dan pertubuhan kebajikan haiwan.
Iklan
Iklan
Kedua-duanya telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu pada Sabtu bagi permohonan reman.
Mahkamah kemudiannya membenarkan perintah reman selama empat hari hingga Selasa ini terhadap kedua-dua suspek, yang dikeluarkan oleh Majistret Amin Rashidi Ramli.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamluddin ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan tangkapan terbabit.
Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Binatang 1953 berkaitan perbuatan mendera atau menyakiti haiwan, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penyebaran kandungan jelik di media sosial.
Sebelum ini, media melaporkan perbuatan tidak berperikemanusiaan itu dipaparkan dalam rakaman berdurasi satu minit 45 saat yang dikongsikan di laman Facebook Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia sejak Jumaat, sekali gus mencetuskan kemarahan pelbagai pihak.