SPRM mohon beku 36 akaun bernilai RM3.1 juta

Iklan
Azam

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memohon untuk membekukan 36 akaun berjumlah lebih RM3.1 juta.

Susulan penahanan 11 individu membabitkan 10 pegawai agensi penguat kuasa dan seorang pesara agensi berkenaan.

Iklan
Iklan

Mereka ditahan dalam Op Bleach dijalankan Bahagian Perisikan SPRM kerana disyaki terbabit rasuah bagi mempercepat proses permohonan program pemutihan pendatang asing menerusi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, susulan penahanan individu berkenaan, SPRM sudah memohon untuk membekukan sebanyak 36 akaun bank dengan jumlah RM3,121,813.10.

Iklan

"Selain itu, SPRM turut menyita empat kereta, lima motosikal, dua gold bar seberat 0.3 gram dianggarkan bernilai RM150, empat utas barang kemas dianggar RM7,000 dan wang tunai RM116,702," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Azam berkata, berdasarkan hasil siasatan, rasuah yang diterima adalah bagi mempercepatkan proses RTK yang dianggarkan sebanyak RM600 untuk setiap pekerja asing.

Iklan

“Mereka yang ditahan itu adalah bermula gred KP19/KP1 hingga KP38/KP7,” katanya.

Beliau berkata, semua tujuh individu yang ditahan reman sehingga Sabtu dibebaskan dengan jaminan.

“Setakat ini tiada tangkapan baharu dan seramai tujuh saksi sudah dipanggil bagi merakam percakapan,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, SPRM menahan 11 individu membabitkan 10 pegawai agensi penguat kuasa dan seorang pesara agensi kerana disyaki terbabit menerima rasuah bagi mempercepat proses permohonan program pemutihan pendatang asing menerusi Program RTK.

Menurut sumber, semua suspek membabitkan tujuh lelaki dan empat wanita berusia lingkungan 30 hingga 50-an ditahan di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang menerusi Op Bleach dijalankan Bahagian Perisikan SPRM pada 12 November lalu.

Semua suspek dipercayai menerima rasuah sebagai balasan bagi mempercepat permohonan pendatang asing yang berada di negara ini sebagai pekerja asing sah menerusi program RTK.

Op Bleach itu adalah operasi susulan yang dijalankan SPRM berkait sindiket counter setting menerusi Op Rentas dan Op Dygo yang dijalankan baru-baru ini.