DUSSELDORF - Seorang lelaki berusia 27 tahun mengalami kecederaan parah di kepala selepas dilanggar tren di barat Jerman ketika berdiri di platform sambil melihat telefon bimbitnya, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) pada Jumaat memetik pihak berkuasa.
Kejadian itu berlaku di Stesen Kereta Api Leichlingen di negeri North Rhine-Westphalia pada Khamis.
Menurut polis persekutuan, lelaki itu leka dengan telefon bimbitnya dan berdiri terlalu dekat dengan tepi platform.
Ketika tren memasuki stesen, pemandu telah membunyikan amaran dan mengaktifkan brek kecemasan namun tidak dapat mengelakkan perlanggaran.
Lelaki berusia 27 tahun itu cedera parah dan dihantar ke hospital menggunakan ambulans helikopter.
Laluan kereta api antara Leverkusen-Opladen dan Stesen Leichlingen ditutup sementara waktu. - Bernama