Tawaran sertai Kabinet: 'Saya tidak tahu apa-apa, ini semua spekulasi' - Khairy

Iklan
Khairy Jamaluddin.Foto fail Sinar Harian

KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menafikan mengetahui apa-apa mengenai dakwaan bahawa beliau ditawarkan menyertai Kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sambil menegaskan bahawa desas-desus itu hanyalah spekulasi.

“Saya tidak tahu apa-apa (mengenai tawaran tempat dalam Kabinet). Ini semua spekulasi,” kata Khairy ringkas ketika diminta mengulas khabar angin yang tular baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian selepas berakhir Sesi Libat Urus Penduduk Bukit Damansara bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Pusat Komuniti Bukit Damansara, di sini pada Jumaat.

Reaksi Khairy itu muncul susulan kenyataan Perdana Menteri pada Rabu lalu, yang melahirkan rasa ‘terkejut’ apabila disoal mengenai kemungkinan bekas Ahli Parlimen Rembau itu menyertai Kabinet tidak lama lagi.

Iklan

“Ye ke, siapa bagitau,” kata Anwar ringkas sambil tersenyum ketika ditemui pemberita selepas program Simposium Pembangunan dan Anugerah Pembangunan Negara 2025 pada Rabu.,

Media sebelum ini melaporkan kemungkinan rombakan Kabinet akan diumumkan pada awal Disember ini, susulan kekosongan beberapa kerusi menteri.

Iklan

Antara nama yang disebut-sebut termasuk Khairy Jamaluddin, yang dikatakan mungkin kembali memegang jawatan sebagai Menteri Alam Sekitar dan Air.

Khairy, yang pernah memegang pelbagai portfolio penting dalam pentadbiran kerajaan terdahulu, sehingga kini belum mengesahkan sebarang minat atau persetujuan mengenai sebarang pelantikan baharu.

Penafian beliau itu menamatkan spekulasi hangat yang melanda arena politik sejak beberapa hari lalu.

Setakat ini, tiada pengumuman rasmi daripada kerajaan berhubung sebarang rombakan Kabinet yang melibatkan Khairy atau individu lain.