Rahim Tamby Chik gagal saman fitnah, diarahkan bayar kos RM150,000

Iklan
Rahim Tamby Chik

KUALA LUMPUR – [KEMAS KINI] Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik gagal dalam saman fitnahnya di Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat.

Saman tersebut difailkan terhadap Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How dan sebuah portal berita di laman web DAP yang bertajuk ‘Khianat jika Rahim diterima masuk Bersatu – Pemuda DAP’ pada tujuh tahun lalu.

Iklan
Iklan

Hakim Mahkamah Tinggi, Roz Mawar Rozain memutuskan demikian selepas menolak saman Rahim selaku plaintif dengan alasan gagal membuktikan kesnya berdasarkan imbangan kebarangkalian terhadap Howard dan portal itu sebagai defendan.

“Saman plaintif dengan ini ditolak,” kata hakim yang menambah Rahim, 75, perlu membayar kos sebanyak RM150,000.

Iklan

Ketika membaca keputusan berkenaan, Hakim Roz Mawar berkata, selepas meneliti semua bukti dengan terperinci, mahkamah mendapati, kata-kata yang dipertikaikan itu membawa maksud fitnah yang lebih ringan.

Katanya, plaintif digambarkan sebagai individu yang tercalar moralnya, dikaitkan dengan satu skandal serius dan tidak layak memegang jawatan awam.

Iklan

Bagaimanapun beliau berkata, liabiliti berkenaan tidak terpakai kerana kenyataan itu berasaskan pandangan yang diberikan merupakan komen adil atas isu berkepentingan awam.

Selain itu katanya, laporan yang dibuat defendan kedua dan ketiga telah berada dalam ruang lingkup liputan neutral.

Katanya, portal dan ketua pengarangnya telah memberi peluang kepada plaintif untuk menyiarkan versinya bagi menunjukkan mereka tidak memihak, namun plaintif telah menolak dan memilih memfailkan tindakan undang-undang dua tahun selepas penerbitan itu.

“Plaintif hanya memfailkan saman dua tahun kemudian, menunjukkan berlaku kelewatan maka ia menimbulkan persoalan mengenai motif tindakan tersebut dan mahkamah berpandangan ia menyebabkan prejudis komersial melebihi kebiasaan.

“Niat jahat atau malice juga tidak dapat dibuktikan,” katanya yang memerintahkan plaintif membayar kos tersebut.

Perbicaraan kes saman itu berlangsung selama 10 hari dengan empat saksi dipanggil memberi keterangan termasuk Rahim.

Pada 2020, Rahim memfailkan saman berhubung penyiaran artikel pada 16 Disember 2018.

Beliau menamakan Howard, pemilik dan penerbit portal berita, ketua pengarangnya, Steven Gan selaku defendan pertama hingga ketiga.

Sementara defendan keempat hingga keenam ialah tiga pemimpin DAP iaitu Tan Kok Wai, Gobind Singh Deo dan Lim Guan Eng.