Polis berkas tiga lelaki kes tembak di stesen minyak

Iklan
Shazeli - Foto Sinar Harian/Mohd Halim Abdul Wahid

SHAH ALAM - Polis memberkas tiga lelaki untuk membantu siasatan berkaitan kes tembak di sebuah stesen minyak di sekitar kawasan Bukit Tinggi, Klang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kesemua suspek berusia 19 hingga 35 tahun yang ditahan di sekitar Klang ini sedang direman sehingga 17 November depan.

Iklan
Iklan

"Siasatan masih dijalankan dan di peringkat ini, kita menyiasat daripada pelbagai aspek termasuk elemen kongsi gelap dan sebagainya.

"Pelbagai aspek perlu dilihat termasuk latar belakang si mati (mangsa). Beri peluang dan ruang untuk pihak polis jalankan siasatan secara adil dan menyeluruh," katanya pada sidang akhbar pelupusan dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Jumaat.

Iklan

Dalam kejadian 7 November lepas, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak terbabit tular di media sosial.

Ia memaparkan individu menunggang motosikal, dipercayai melepaskan tembakan ke arah seorang pelanggan yang sedang menggunakan perkhidmatan di stesen berkenaan.

Iklan

Mangsa berusia 34 tahun itu disahkan meninggal dunia akibat kecederaan beberapa das tembakan pada bahagian dada dan perut.

Berikutan itu, polis mengesahkan mangsa merupakan individu yang dikehendaki polis di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan memiliki beberapa rekod jenayah lain.