Pulau Pinang terus pelihara tapak sejarah, kampung tradisional

Iklan
Hon Wai

GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang menegaskan komitmen berterusan untuk memelihara tapak bersejarah dan kampung tradisional apabila mengumumkan Kampung Melayu Lama Air Itam kini dalam proses pencalonan untuk diwartakan sebagai Tapak Warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata, pencalonan itu sedang melalui proses mendapatkan persetujuan pemilik serta pihak berkuasa negeri sebelum tindakan seterusnya diambil oleh Jabatan Warisan Negara bagi pewartaan rasmi.

Iklan
Iklan

Langkah itu katanya, membuktikan usaha berterusan kerajaan negeri dalam memastikan warisan sejarah dan identiti budaya Pulau Pinang terus terpelihara.

"Selain nilai sejarah, Kampung Melayu Lama Air Itam mempunyai kepentingan tambahan kerana menempatkan makam Sheikh Omar yang dipercayai antara tokoh awal penyebaran Islam di Pulau Pinang.

Iklan

"Selain kawasan itu, ia masih dihuni dan mempunyai aktiviti sosial serta kemasyarakatan yang aktif," katanya pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Muhamad Kasim (Bersatu-Teluk Bahang) berhubung jumlah kawasan atau kampung yang telah diwartakan sebagai kampung warisan atau zon warisan di Pulau Pinang.

Iklan

Hon Wai berkata, Jabatan Warisan Negara menetapkan bahawa sesebuah kawasan hanya boleh diiktiraf sebagai tapak warisan sekiranya memenuhi kriteria tertentu termasuk aspek sejarah, komuniti setempat serta kesinambungan aktiviti budaya dan sosial.

"Mana-mana pihak yang ingin mencalonkan sesuatu tapak warisan perlu mengisi borang rasmi dengan maklumat lengkap berkaitan sejarah, nilai komuniti dan elemen lain yang disyaratkan sebelum ia dipertimbangkan untuk pewartaan.

"Kita percaya Kampung Melayu Lama Air Itam memenuhi ciri-ciri tersebut dan pencalonannya adalah langkah penting bagi memastikan tapak itu diiktiraf serta dipelihara untuk generasi akan datang," ujarnya lagi.