TEHERAN - Seorang lelaki Iran bertindak membakar diri selepas pegawai kerajaan mengarahkan gerai makanan milik keluarganya ditutup.
Difahamkan gerai makanan tersebut merupakan satu-satunya sumber pendapatan mereka sekeluarga.
Mangsa, Ahmad Baledi, 20, meninggal dunia selepas melecur sehingga 70 peratus daripada badannya.
Kejadian tragis yang berlaku di sebuah taman di Ahvaz, Wilayah Khuzestan itu mendorong Presiden Iran mengarahkan siasatan rasmi dilakukan.
Berdasarkan laporan Associated Press, pengumuman itu dibuat oleh Presiden Masoud Pezeshkian.
Pada masa sama, menurut agensi berita IRNA, seorang Datuk Bandar daerah dan ketua agensi penguatkuasaan di bandar barat daya Ahvaz telah ditangkap berhubung kejadian itu.
IRNA melaporkan Datuk Bandar Ahvaz telah meletak jawatan, manakala empat pegawai bandar lain telah dipecat.
Pada mulanya, kerajaan bandar Ahvaz mengeluarkan kenyataan penutupan kios itu merupakan pengusiran yang dibenarkan oleh mahkamah dan menegaskan bahawa pegawai tidak menggunakan paksaan.
Setakat ini, tiada demonstrasi besar atau pergolakan di Ahvaz atas kematian Baledi. - Agensi