100 jentera bantu kempen BN di Sabah - UMNO Pahang

Iklan
Wan Rosdy

KUANTAN – UMNO Pahang menghantar 100 jentera bagi membantu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dengan menumpukan dua Parlimen dan lima Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penghantaran jentera tersebut adalah sebahagian daripada tradisi UMNO dan Barisan Nasional (BN) bagi memastikan kemenangan calon parti.

Iklan
Iklan

"Kalau sekiranya ia perlu tambah, kita tambah lagi dan ini memang tradisi dalam BN dan UMNO apabila ada PRN atau PRK (Pilihan Raya Kecil) negeri-negeri lain akan bantu untuk menangkan calon-calon.

"Kita (beri) tumpu di dua Parlimen iaitu Kinabatangan dan Beluran yang melibatkan lima DUN keseluruhannya," katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi Town Hall Pahang 1st Lecture Series di Dewan Utama, Kompleks Yayasan Pahang di sini pada Khamis.

Iklan

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri menjelaskan, seramai 20 pelajar daripada Sekolah Patriotik UMNO turut dibawa bersama bagi membantu kempen di Sabah.

"Kita bagi pendedahan kepada mereka untuk bersama-sama membantu dan melihat proses perjalanan demokrasi di negara kita," jelasnya.

Iklan

Pada 6 Oktober lalu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pembubaran DUN Sabah bagi memberikan laluan kepada PRN Sabah ke-17.

DUN Sabah mempunyai 79 kerusi dengan 73 daripadanya dipertandingkan manakala enam lagi merupakan ADUN yang dilantik.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh penamaan calon PRN Sabah pada 15 November ini manakala tarikh pengundian awal dan hari pengundian masing-masing pada 25 serta 29 November ini.