Edra perkukuh komitmen pulih hutan bakau di Jimah

Iklan
Edra Power Holdings Sdn Bhd menanam 1,000 anak pokok bakau di Stesen Janakuasa Jimah, Port Dickson. - Kredit foto Edra Power Holding Sdn Bhd

SEREMBAN - Edra Power Holdings Sdn Bhd menanam sebanyak 1,000 anak pokok bakau di bawah fasa kedua inisiatif pemulihan hutan bakau di Stesen Janakuasa Jimah, Port Dickson pada Rabu.

Pemangku Pengurus Stesen Janakuasa Jimah, Muhammad Mazli Ismail Jamail berkata, pada program itu tapak semaian bakau yang menempatkan spesies Sonneratia dan Avicennia turut diwujudkan, berfungsi sebagai benteng pertahanan utama pesisir pantai serta menggalakkan pembiakan spesies bakau lain.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, sehingga kini sebanyak 2,000 anak pokok bakau ditanam di kawasan pesisir stesen janakuasa berkenaan, menggambarkan komitmen berterusan Edra terhadap pemuliharaan alam sekitar dan pembangunan lestari.

"Penanaman pokok bakau dan penyediaan tapak semaian itu mewujudkan asas ekosistem hijau yang mampan bagi memelihara biodiversiti, menyediakan habitat semula jadi serta memastikan bekalan anak pokok yang berterusan untuk masa hadapan.

Iklan

"Dari semasa ke semasa, usaha itu akan membantu mengurangkan hakisan pesisir pantai dan memberi manfaat sosioekonomi kepada masyarakat setempat melalui ekopelancongan dan pemulihan sumber marin,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Muhammad Mazli berkata, pelalaksanaan inisiatif itu dengan kerjasama Persatuan Pencinta Alam Malaysia dan Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan serta disertai warga kerja Edra dan komuniti setempat termasuk Persatuan Nelayan Kawasan Port Dickson.

Iklan

Usaha itu juga kesinambungan kepada program pemulihan hutan bakau Edra dan memperkukuh penyertaan masyarakat dalam pemeliharaan alam sekitar sejajar dengan matlamat Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) syarikat berkenaan.

Beliau berkata, di bawah fasa pertama inisiatif yang dilaksanakan tahun lepas, sebanyak 1,000 anak pokok bakau berjaya ditanam. 

Projek itu juga sejajar dengan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok serta Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG) dan Edra akan terus menerajui inisiatif alam sekitar dengan mengintegrasikan kelestarian dalam operasi serta budaya korporatnya. - Bernama