Lelaki menyamar pelanggan larikan barang kemas RM20,000

Iklan
Seorang lelaki bertindak melarikan seutas rantai tangan emas bernilai lebih RM20,000 selepas berpura-pura menyamar sebagai pelanggan di sebuah premis di Tikam Batu, pada Khamis.

SUNGAI PETANI - Seorang lelaki bertindak melarikan seutas rantai tangan emas bernilai lebih RM20,000 selepas berpura-pura menyamar sebagai pelanggan di sebuah premis di Tikam Batu, pada Khamis.

Pemilik premis yang enggan dikenali berkata, dalam kejadian lebih kurang jam 12 tengah hari itu, terdapat kira-kira lima pelanggan berada di dalam kedai sedang memilih barang kemas.

Iklan
Iklan

Menurutnya, semasa pekerja sedang sibuk melayan pelanggan lain, suspek dikatakan berpura-pura sedang memilih rantai tangan sambil memerhati keadaan sekeliling.

"Pintu keluar masuk dikawal menggunakan sistem automatik, ketika seorang pelanggan ingin keluar, pekerja membuka pintu tersebut, namun suspek tiba-tiba mengambil seutas rantai tangan seberat anggaran 40.98 gram sebelum melarikan diri.

Iklan

"Semua yang berada dalam kedai tidak sempat berbuat apa-apa kerana terkejut dan kejadian berlaku dengan pantas," katanya.

Suspek bertindak berlari keluar semasa pintu automatik dibuka.

Dia kemudiannya memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebelum memuat naik rakaman kejadian ke media sosial bagi meminta bantuan orang ramai.

Iklan

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

"Kita sedang mengesan suspek dan mereka yang mempunyai maklumat diminta tampil segera atau menghubungi balai polis berhampiran," katanya.