Wanita nekad terjun kereta elak dipukul suami

Iklan
Mangsa dikesan terjun dari kenderaan yang dinaiki bersama suami.

SUNGAI PETANI - Seorang wanita nekad terjun dari kereta yang sedang bergerak gara-gara mahu mengelakkan diri dari dipukul suami dalam kejadian di Jalan Lencongan Timur, di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, satu laporan diterima dari mangsa yang mendakwa berlaku pergelutan semasa berada dalam kereta bersama suami di mana wanita itu berusaha untuk menyelamatkan diri.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebelum itu, mangsa mendakwa secara tiba-tiba diseret daripada keretanya masuk ke dalam kereta suami ketika berada di sebuah stesen minyak di Sungai Lalang pada jam lebih kurang 6 petang.

"Sepanjang perjalanan dikatakan berlaku pergelutan menyebabkan mangsa cuba melepaskan diri daripada suami yang dipercayai dalam keadaan marah.

Iklan

"Semasa tiba di simpang Jalan Lencongan Timur, mangsa nekad terjun selepas membuka pintu kereta bahagian penumpang kerana dipercayai berasa takut dengan tindakan suami," katanya.

Mangsa dikesan terjun kerana dikatakan berlaku pergelutan dengan suami.

Iklan

Hanyan berkata, berdasarkan siasatan awal, pasangan itu telah berkahwin sejak Oktober 2024 dan tinggal berasingan sejak sebulan lalu kerana mangsa mendakwa kerap dipukul.

Susulan kejadian, suami mangsa telah ditahan reman bagi membantu siasatan.

Perintah reman dibenarkan Mahkamah Sungai Petani selama dua hari bagi membantu siasatan.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga.