VIETNAM - Penerbangan pesawat HK Express dari Da Nang, Vietnam ke Hong Kong kecoh apabila sepasang kekasih bergaduh berhubung dakwaan melanggan pelacur dan penderaan fizikal sehingga memaksa kru penerbangan mengusir mereka keluar sebelum pesawat berlepas.
Memetik laporan South China Morning Post, insiden yang berlaku pada Ahad itu menyebabkan penerbangan tertangguh hampir satu jam 30 minit.
Iklan
Iklan
Video tular menunjukkan pasangan terbabit bertengkar di ruang menunggu Lapangan Terbang Antarabangsa Da Nang sebelum menaiki pesawat HK Express, penerbangan UO559.
Wanita berkenaan mendakwa teman lelakinya melanggan pelacur dan memukulnya sebelum ini, manakala lelaki itu pula membalas dengan menuduh pasangannya curang serta mempunyai masalah mental.
Keadaan bertambah tegang apabila mereka meneruskan pertengkaran di dalam pesawat, selain wanita itu berkeras mahu duduk di sebelah teman lelakinya dan menolak pramugari yang cuba menenangkannya hingga terjatuh.
Kru penerbangan akhirnya mengarahkan kedua-duanya turun dari pesawat bagi memastikan keselamatan penumpang lain.
HK Express dalam kenyataannya memohon maaf atas insiden tersebut dan menegaskan bahawa keselamatan penumpang serta kru sentiasa menjadi keutamaan syarikat penerbangan itu.