SKYWORLD Development Berhad (SkyWorld) meraikan kejayaan berganda apabila Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lee Chee Seng dinobatkan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Hartanah Cemerlang 2025 dan The Valley Residences di Setiawangsa pula menerima Sebutan Khas di bawah kategori Anugerah Kecemerlangan Penciptaan Nilai The Edge Malaysia–PEPS 2025.
Sejak menyertai SkyWorld pada 2016 sebagai Ketua Pegawai Produk, Chee Seng menzahirkan semangat 'Dare to Lead, Built to Breakthrough' menerusi inovasi, keberanian dan komitmen terhadap kecemerlangan.
SkyWorld dalam satu kenyataan memaklumkan, Chee Seng berjaya menukar cabaran kepada peluang antaranya melalui pelancaran Siri SkyAwani pada 2017 iaitu kediaman mampu milik berkualiti tinggi dengan kemudahan kondominium di lokasi strategik.
“Projek ini menekankan kesalinghubungan, kemudahan dan komuniti mencatat 100 peratus jualan bagi semua fasa, selain meraih dua Anugerah Emas FIABCI World Prix d’Excellence dan tiga kali Anugerah The Edge Malaysia Affordable Urban Housing Excellence.
“Bagi memperkukuh asas kualiti, Chee Seng menubuhkan SkyWorld Quality Centre pada 2018 iaitu pusat pembelajaran dan penanda aras mutu kerja pertama di Malaysia. SkyWorld kini menjadi satu-satunya pemaju tempatan yang melaksanakan penilaian QLASSIC CIDB untuk setiap projek tanpa mengira harga,” menurut kenyataan itu.
Di bawah teraju Chee Seng, SkyWorld berjaya mencatat pelbagai kejayaan termasuk jualan RM1 bilion pada 2021, lima kali pengiktirafan Kincentric Best Employer Malaysia serta penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 2023, semuanya dicapai dalam tempoh hanya sembilan tahun.
Beliau juga memperkenalkan kaedah Prefabricated Prefinished Volumetric Construction (PPVC) yang meningkatkan mutu pembinaan dan mengurangkan impak alam sekitar sekali gus menetapkan penanda aras baharu bagi kediaman lestari dan mampu milik di Malaysia.
Sementara itu, The Valley Residence yang terletak di Setiawangsa pula sebahagian daripada pembangunan bersepadu SkySierra, merangkumi tiga menara kediaman di atas tanah seluas 4.66 ekar.
Projek yang menawarkan 1,309 unit berkeluasan 800 hingga 1,318 kaki persegi itu dilancarkan pada harga bermula RM380,000, menjadikannya antara pilihan terbaik di kawasan pinggir bandar.
Sejak siap dibina, pembangunan ini mencatat kenaikan modal sehingga 43 peratus, sekali gus mencerminkan permintaan kukuh dan penciptaan nilai jangka panjang.
The Valley Residences turut meraih Anugerah Utama CIDB Malaysia selepas mencapai skor QLASSIC tertinggi 86 peratus, penarafan keselamatan SHASSIC lima bintang dan pensijilan MyCREST bagi reka bentuk rendah karbon sebagai bukti komitmen SkyWorld terhadap kualiti, keselamatan dan kelestarian.
“Kemenangan berganda ini membuktikan komitmen berterusan SkyWorld terhadap matlamat ‘Making Living Better’ melalui kediaman yang menyeimbangkan kualiti, nilai dan kelestarian.
“Ia juga memperkukuh janji jenama SkyWorld bahawa You Can Now Own a Quality Home & Living selaras aspirasi syarikat untuk membentuk masa depan kehidupan bandar yang lebih baik,” tambah kenyataan itu.