BANGKOK – Thailand pada Isnin menggantung sementara pelaksanaan perjanjian damai dengan negara jiran, Kemboja, selepas dua anggota tenteranya cedera akibat letupan periuk api berhampiran sempadan.
Perjanjian itu sebelum ini dimeterai di Kuala Lumpur pada akhir Oktober lalu di bawah pengawasan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, bagi menamatkan sepenuhnya pertikaian rentas sempadan yang tercetus pada Julai dan meragut sekurang-kurangnya 43 nyawa serta memaksa lebih 300,000 penduduk berpindah.
Iklan
Iklan
Dalam kenyataan, Tentera Diraja Thailand memaklumkan letupan di wilayah Sisaket mengakibatkan seorang anggota cedera parah di bahagian kaki manakala seorang lagi mengalami kesakitan dada akibat tekanan daripada letupan tersebut.
Jurucakap kerajaan Thailand, Siripong Angkasakulkiat berkata, Bangkok memutuskan untuk menggantung sementara 'tindakan susulan terhadap deklarasi bersama' dengan Kemboja sehingga siasatan selesai.
“Perjanjian ini sepatutnya menjadi langkah penting ke arah keamanan berkekalan, namun insiden ini menunjukkan ancaman keselamatan masih wujud,” kata Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dalam sidang media di Bangkok.
Pihak berkuasa Kemboja belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi, namun menafikan tuduhan bahawa mereka menanam periuk api baharu di sepanjang sempadan.
Thailand dan Kemboja telah lama berselisih mengenai sempadan kedua-dua negara yang diwarisi sejak zaman penjajahan Perancis lebih 100 tahun lalu. - AFP