Covid-19: Impak ekonomi lebih panjang

Iklan
Gambar hiasan. - Foto 123RF

SHAH ALAM - Rakyat Malaysia perlu mempunyai simpanan sekurang-kurangnya enam bulan walaupun tempoh Perintah Kawalan Keselamatan (PKP) hanyalah untuk tempoh sebulan iaitu sehingga 14 April ini.

Penganalisis Ekonomi daripada Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, ini kerana impak ekonomi disebabkan oleh penularan wabak koronavirus (Covid-19) kepada dunia termasuklah Malaysia lebih panjang.

Iklan
Iklan

"Sebab itulah kerajaan memberikan penangguhan pinjaman bank, bantuan kepada mereka terjejas dan mereka yang dijangkiti virus ini.

"Untuk itu, penangguhan bayaran ini perlu dimanfaatkan oleh semua pihak untuk menyimpan wang mereka bagi mengharungi hari-hari mendatang. Jangan pula apabila kerajaan beri penangguhan kita berbelanja besar dan membuat pinjaman baharu," katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Iklan

Beliau berpendapat, jumlah pengangguran di negara ini akan meningkat kerana banyak syarikat-syarikat terjejas dan terpaksa gulung tikar.

"Kalau kita lihat kerajaan berusaha bersungguh-sungguh buat masa sekarang dengan pelbagai inisiatif supaya pihak syarikat dan orang persendirian tidak bankrap dan mampu bertahan dalam kelembapan ekonomi.

Iklan

"Justeru, langkah terbaik untuk orang ramai ialah bijak berbelanja dan simpanan untuk enam bulan itu boleh digunakan untuk meneruskan kehidupan selepas ini sama ada untuk mencari pekerjaan (jika kehilangan pekerjaan)," katanya.

Dr Ahmed Razman

Mengulas mengenai pelanjutan PKP yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, beliau berkata, impak kepada ekonomi negara pastinya ada kerana aktiviti perniagaan terhenti selama sebulan.

"Perniagaan tidak mempunyai kecairan untuk membayar kos operasi mereka. Oleh sebab itu, selaras dengan penambahan tempoh PKP, kerajaan mengumumkan moratorium selama enam bulan.

"Dengan cara ini syarikat atau perniagaan boleh bertahan dan pekerja masih lagi mempunyai pekerjaan," katanya.