TAIPING - “Selalunya bila ayah keluar rumah, abang akan cari dan pujuk balik. Tapi kali ini... ayah tak balik-balik.”
Itu luahan sayu Amy Sapina, 39, anak bongsu kepada Abdul Wahab Darham, 85, warga emas yang dilaporkan hilang sejak 30 Oktober lalu selepas keluar dari rumahnya di Kampung Air Putih dekat Simpang di sini.
Menurut Amy Sapina, bapanya yang menghidap penyakit nyanyuk sudah beberapa tahun sering keluar rumah tanpa pengetahuan keluarga, namun setiap kali akan berjaya ditemui atau dipujuk pulang oleh ahli keluarga.
"Ayah memang ada penyakit cepat lupa. Setiap hari dia nak keluar rumah sebab ingat nak balik rumah ibunya di Bagan Serai, sedangkan rumah nenek saya itu sudah lama tak ada," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, pada hari kejadian sekitar jam 11.30 pagi, ibunya memaklumkan bahawa Abdul Wahab keluar rumah seperti biasa memakai kemeja kuning bercorak petak kecil, bersongkok hitam dan berseluar warna gelap, sambil membawa kain pelikat yang dijadikan seperti beg kecil.
"Abang saya yang tinggal berdekatan segera mencari, namun gagal menemuinya.
"Biasanya kalau ayah keluar, abang akan dapat tahu dan pergi ambil dia. Kadang-kadang orang kampung pun tolong hantar balik sebab semua dah kenal ayah," katanya.
Tambahnya, kali terakhir ayahnya dilihat oleh beberapa penduduk berada berhampiran jejantas di kawasan Kampung Dew iaitu kira-kira 4 kilometer dari kediaman mereka pada petang hari kejadian.
Sejak itu, kelibat ayahnya tidak lagi dikesan.
Amy Sapina berkata, mereka sekeluarga bersama penduduk kampung dan beberapa pasukan sukarelawan termasuk NGO serta pihak berkuasa sudah menggerakkan pelbagai usaha mencari, namun masih menemui jalan buntu.
“Dah masuk 10 hari, tak ada sebarang petunjuk. Polis buat rondaan, kami pula masuk kampung, hutan, kebun sawit, sampai ke Kuala Kangsar dan Parit Buntar pun dah cari,” katanya.
Menurutnya, kehilangan kali ini dirasakan sangat berbeza kerana tidak pernah ayahnya menghilangkan diri melebihi satu hari sebelum ini.
"Kami dah reda dengan apa juga kemungkinan. Tapi dalam masa sama kami masih berharap ada keajaiban.
"Kalau ayah masih ada, semoga ada orang tolong selamatkan dia," katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau terlihat warga emas berkenaan diminta segera menghubungi balai polis berhampiran atau ahli keluarga di talian 016-6606043.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, setakat ini pihaknya masih belum menemui sebarang petunjuk baharu berhubung kehilangan warga emas berkenaan.
Menurut beliau, operasi mencari masih diteruskan dengan pelbagai kaedah termasuk mendapatkan maklumat daripada masyarakat setempat, hebahan melalui media massa serta saluran komunikasi ke daerah dan kontinjen lain di seluruh negeri.
Terdahulu, tular di media sosial satu rakaman video memaparkan aksi mesra Abdul Wahab yang dipujuk oleh anak dan cucunya untuk pulang ke rumah.
Video berkenaan mencuri perhatian orang ramai yang menggelarkannya sebagai ‘aksi comel’ warga emas tersebut.