MATTHIJS de Ligt muncul wira Manchester United apabila menanduk masuk gol penyamaan pada masa kecederaan untuk memastikan keputusan seri dramatik 2-2 menentang Tottenham Hotspur dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Tottenham Hotspur.
Jaringan pertahanan Belanda itu hadir pada minit terakhir daripada enam minit masa tambahan selepas menanduk masuk sepakan penjuru, sekali gus menghadiahkan satu mata buat United.
Bryan Mbeumo meletakkan anak buah Ruben Amorim di depan pada separuh masa pertama apabila menanduk kemas hantaran silang Amad Diallo.
Aksi cemerlang penjaga gol United, Senne Lammens yang menggagalkan dua percubaan berbahaya Cristian Romero dan Micky van de Ven selepas rehat, seakan membuka laluan buat The Lilywhites menamatkan rentetan dua kekalahan berturut-turut di laman sendiri.
Namun, suasana di stadium bertukar daripada ejekan kepada sorakan apabila pemain gantian Mathys Tel yang masuk menggantikan Xavi Simons pada pertengahan babak kedua melakukan kawalan sempurna terhadap hantaran lintang sebelum melepaskan rembatan kencang menewaskan De Ligt enam minit sebelum tamat.
Ketika penyokong tuan rumah masih meraikan jaringan Tel, detik dramatik terus mewarnai babak akhir apabila Richarlison yang menjadi tumpuan kritikan sejak kebelakangan ini menjaringkan gol kedua Spurs dengan menampan percubaan jarak jauh Wilson Odobert menewaskan Lammens.
Namun, kebangkitan United belum berakhir. Meskipun terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Benjamin Sesko mengalami kecederaan ketika semua kuota pertukaran telah digunakan, mereka tetap berjuang hingga ke wisel penamat.
Dalam situasi terdesak itu, Lammens turut naik membantu sepakan penjuru terakhir dan De Ligt memanfaatkan peluang dengan tandukan dari sudut sukar untuk memastikan United membawa pulang satu mata berharga.