KPM minta sokongan semua pihak jayakan dua agenda besar pendidikan negara

Iklan
Fadhlina. Foto Bernama

NIBONG TEBAL - Kementerian Pendidikan (KPM) meminta sokongan semua pihak khususnya ibu bapa dalam menjayakan dua agenda besar pendidikan negara iaitu Pelan Pendidikan Malaysia 2026-2035 dan Kurikulum Persekolahan 2027.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kedua-dua inisiatif besar itu, merupakan antara agenda utama yang sedang diperjuangkan KPM dalam memperkukuh sistem pendidikan negara, ke arah melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing.

Iklan
Iklan

"KPM ketika ini sedang mengusahakan dua agenda utama iaitu Pelan Pembangunan Pendidikan yang baru dan juga Kurikulum 2027, tetapi kita akan mula dengan prasekolah pada 2026. Ini semua akan memberikan kesan langsung kepada pendidikan kita.

"Pastinya usaha ini juga memerlukan sokongan daripada semua pihak, khususnya apabila kita melaksanakan Kurikulum baharu 2027 nanti, dan juga bagaimana komuniti harus bersama dengan kita dalam usaha memperkukuh, khususnya pembentukan karakter anak-anak kita,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist Nibong Tebal di sini, malam Sabtu yang turut dihadiri Pengetua sekolah berkenaan, Dr S Sivasanggar.

Fadhlina sebelum ini berkata, KPM akan memperkenalkan pelaksanaan pembentukan karakter murid secara menyeluruh mulai 2026, dengan pendekatan bersepadu yang diintegrasikan dalam subjek pembelajaran sedia ada.

Iklan

Beliau berkata, pelaksanaan inisiatif itu akan dimulakan dengan murid prasekolah tahun hadapan, sebelum diperluas kepada murid Tahun Satu dan seterusnya.

Terdahulu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal mengumumkan sumbangan RM100,000 kepada SMK Methodist Nibong Tebal, bagi tujuan pembangunan agar sekolah berkenaan terus dapat menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.

Seramai 480 bekas pelajar dari 1962 hingga 2020 menghadiri majlis anjuran Alumni SMK Methodist Nibong Tebal, bertujuan mengumpul dana bagi membina tambahan bilik darjah dan pelaksanaan aktiviti lain. - Bernama