Putera Adam juara Kategori PRO Kejuaraan Lamborghini Super Trofeo Eropah

Iklan
Kemenangan Putera Adam turut membantu VSR merangkul Kejuaraan Pasukan 2025. Foto FB Putera Adam

PELUMBA muda negara, Putera Adam Halim Muazzam melakar sejarah tersendiri apabila diumumkan selaku juara keseluruhan Kategori PRO pada Kejuaraan Lamborghini Super Trofeo Eropah 2025.

Pelumba berusia 19 tahun itu mengungguli dua perlumbaan terakhir di Litar Dunia Misano Marco Simoncelli, semalam.

Iklan
Iklan

Kejayaan tersebut sekali gus mengesahkan kedudukannya sebagai pelumba Malaysia dan Asia pertama yang menjuarai kategori paling kompetitif dalam siri Lamborghini di Eropah.

Anak kelahiran Subang Jaya, Selangor itu mempamerkan kecekapan, ketenangan dan kematangan luar biasa sepanjang musim sulungnya bersama pasukan Vincenzo Sospiri Racing (VSR).

Iklan

Meskipun bersaing dengan pelumba berpengalaman seperti Enzo Geraci dan Josef Knopp, serta peserta Program Bakat Muda Lamborghini, Putera Adam berjaya mengumpul 114 mata keseluruhan hasil prestasi konsisten pada setiap pusingan.

Musimnya bermula sukar selepas terlibat dalam kemalangan pada pusingan pembukaan Paul Ricard namun semangat juangnya membawa kejutan di Monza apabila beliau bersama rakan sepasukan Paul Levet berhasil menjuarai perlumbaan pertama musim ini.

Iklan

Prestasi positifnya diteruskan dengan meraih podium di Spa-Francorchamps sebelum memperoleh kemenangan di Barcelona dan kemudiannya menutup musim di Misano dengan dua kemenangan berturut-turut justeru mengesahkan gelaran juara keseluruhan.

"Musim ini penuh cabaran dan pembelajaran. Saya mungkin pelumba paling muda dan kurang berpengalaman di grid, tetapi saya belajar daripada setiap perlumbaan, setiap pusingan serta setiap kesilapan.

"Gelaran ini untuk Malaysia, keluarga saya dan semua yang menyokong saya sejak awal,” katanya dalam kenyataan.

Kemenangan Putera Adam turut membantu VSR merangkul Kejuaraan Pasukan 2025. - Bernama