PENGANJUR Warzone World Championship (WWC) menegaskan komitmen penuh mereka untuk mematuhi segala peraturan di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576) serta garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Pengasas WWC, Yusuf Azmi, berkata pihaknya telah menghantar surat rasmi kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia bagi tujuan pendaftaran dan pematuhan di bawah akta berkenaan.
“Kami juga telah mengadakan beberapa siri perbincangan dengan pihak berkaitan dan agensi keselamatan tempatan untuk memastikan setiap aspek acara ini mematuhi semua garis panduan dan peraturan yang ditetapkan.
“Kami komited memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa, termasuk sekiranya ada keperluan untuk audit atau semakan lanjut,” katanya.
Menurut Yusuf, pihak penganjur turut mengambil langkah memansuhkan kategori junior selaras dengan pekeliling baharu Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang melarang penyertaan atlet bawah 15 tahun dalam acara sukan tempur.
“Kami ingin menegaskan bahawa Warzone World Championship menolak sebarang bentuk eksploitasi atau pendedahan berlebihan terhadap kanak-kanak dalam aktiviti berisiko,” jelasnya.
Beliau turut sekali lagi menzahirkan permohonan maaf kepada masyarakat Malaysia, para peserta dan semua pihak yang terkesan dengan salah faham yang timbul berhubung penganjuran WWC.
"Kami mengakui terdapat kekurangan dalam cara komunikasi dan promosi awal kami yang telah menimbulkan persepsi negatif seolah-olah Warzone adalah satu bentuk perlawanan ganas atau tidak beretika.
“Kami mengambil segala pandangan secara terbuka dan menjadikannya panduan untuk memperbaiki setiap aspek penganjuran.
“Kami berjanji akan terus bertindak dengan penuh ketelusan, profesionalisme dan rasa tanggungjawab. Terima kasih kepada semua pihak atas sokongan berterusan," katanya.
Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan bahawa semua penganjur acara sukan tempur dilarang melibatkan atlet bawah umur 15 tahun dalam acara sentuhan penuh tanpa pelindung keselamatan dan perlu mengikut peraturan badan pengelola kebangsaan masing-masing.
Hannah berkata, penyertaan atlet bawah 15 tahun bagi sukan tempur seperti MMA, Muay Thai, kickboxing dan tinju hanya dibenarkan dalam kejohanan rasmi anjuran persatuan sukan kebangsaan atau negeri yang berdaftar di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997.
Sebelum ini, KBS mengesahkan bahawa kejohanan WWC tidak mendapat kelulusan untuk dianjurkan, dan penganjur diberikan tempoh 30 hari untuk mengemukakan permohonan rasmi kepada pihak berkuasa.