PRN Sabah: Armizan tolak dakwaan tanding DUN Pantai Manis, calon Ketua Menteri

Iklan
Armizan ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program My Gaya Sabah 2025 Promosi Industri Fesyen Tempatan Melalui KBBM di Penampang.

PENAMPANG - Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali menolak dakwaan bahawa beliau akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Manis seperti yang tular di media sosial pada Sabtu.

Penafian itu sekali gus menolak dakwaan tersebut yang menyatakan bahawa beliau yang juga Ahli Parlimen Papar kononnya bakal calon Ketua Menteri Sabah di masa hadapan.

Iklan
Iklan

"Saya fikir mengenai bertanding calon di Pantai Manis ini saya sudah sudahpun jawab sebelum ini. Saya tidak berhajat untuk bertanding di kerusi DUN termasuk Pantai Manis.

"Kalau saya ada 48 jam sehari mungkin saya boleh pertimbangkan tapi sama macam semua, hanya 24 jam sehari.

Iklan

"Jadi saya fikir tanggungjawab sedia ada itu sudah cukup mencabar dan besar," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program My Gaya Sabah 2025 Promosi Industri Fesyen Tempatan Melalui Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) di sini pada Sabtu.

Armizan bagaimanapun berkata, seperti yang dikatakan sebelum ini, beliau berharap ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) datang dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi DUN Pantai Manis.

Iklan

"Ini bagi membolehkan saya bekerjasama rapat. Sekarang kita ada dua ADUN Kawang dan ADUN Limbahau (bawah Parlimen Papar) dan tambah lagi satu ADUN Pantai Manis.

"Insya-ALLAH kita akan menjadi pasukan yang terbaik untuk membawa perubahan yang lebih bernilai dan bermakna untuk Parlimen Papar khususnya," katanya.

Untuk rekod, DUN Pantai Manis dimiliki calon dari Barisan Nasional (BN), Mohd Tamin Zainal dengan memperoleh sebanyak 5,116 undi sekali gus menewaskan empat pencabar lain dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

t