Kempen Lestari Pendidikan bantu peminjam PTPTN struktur semula pinjaman

Iklan
Kempen terbuka kepada semua peminjam konvensional dan ujrah yang mempunyai tunggakan berjumlah RM500 dan ke atas.

KUALA LUMPUR - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terus memperkenalkan inisiatif mesra pelanggan melalui Kempen Lestari Pendidikan bagi membantu peminjam yang mempunyai tunggakan pinjaman menstruktur semula bayaran mengikut kemampuan kewangan masing-masing.

Kempen tersebut terbuka kepada semua peminjam konvensional dan ujrah yang mempunyai tunggakan berjumlah RM500 dan ke atas dalam tempoh kempen bermula 15 Oktober hingga 15 Disember 2025.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan PTPTN, melalui kempen ini peminjam hanya perlu membuat bayaran pendahuluan 20 peratus daripada jumlah tunggakan atau sekurang-kurangnya RM500, mana yang lebih tinggi, sebelum memohon rundingan bayaran balik melalui aplikasi web myPTPTN.

Menerusi rundingan itu, jelasnya, peminjam boleh menstrukturkan semula pinjaman, melakukan pertukaran ujrah atau menggabungkan pinjaman sepanjang tempoh kempen bagi menyusun semula jadual bayaran balik (JBB) mengikut kemampuan kewangan.

Iklan

"Kempen Lestari Pendidikan dilaksanakan sebagai inisiatif strategik di bawah konsep #PTPTNBolehBincang, yang memberi ruang kepada peminjam untuk berbincang dan mendapatkan pelan pembayaran fleksibel.

"Usaha ini bukan sahaja meringankan beban kewangan peminjam, malah memastikan kelestarian dana pinjaman agar terus dimanfaatkan oleh generasi pelajar akan datang," menurut kenyataan itu kepada Sinar Harian.

Iklan

Bagi memastikan kelancaran bayaran balik pinjaman, PTPTN turut menggalakkan peminjam membuat bayaran ansuran secara potongan gaji atau direct debit bagi menikmati kemudahan penstrukturan semula pinjaman yang lebih teratur.

Dalam masa sama, PTPTN turut melaksanakan pendekatan proaktif menerusi inisiatif #PTPTNSediaBantu, yang menyediakan pelbagai saluran perkhidmatan mudah, cepat dan selamat bagi memudahkan urusan peminjam.

Antara saluran tersebut ialah Careline PTPTN di 03-2193 3000 (Isnin hingga Jumaat, 9 pagi-5 petang), Live Chat di portal rasmi www.ptptn.gov.my, E-Aduan PTPTN (https://eaduan.ptptn.gov.my/), Eksekutif Jualan PTPTN (https://www.ptptn.gov.my/hubungi-ptptn) dan media sosial rasmi PTPTN.

Jelasnya, selaras dengan komitmen memperkukuh hubungan pelanggan, PTPTN turut menganjurkan Bulan Mesra Pelanggan di semua pejabat negeri dan cawangan seluruh negara bermula 1 November hingga 15 Disember 2025.

"Antara tawaran menarik ialah cabutan bertuah bagi peminjam yang membuat bayaran balik RM500 dan ke atas, dengan hadiah tunai keseluruhan RM70,000 untuk 140 pemenang, selain cenderamata khas untuk 20 pelanggan terawal yang hadir ke kaunter bagi membuat rundingan bayaran balik," tambah kenyataan itu.

Bagi memudahkan urusan pelanggan, waktu operasi di pejabat PTPTN negeri dan cawangan terpilih turut dilanjutkan mulai 1 hingga 15 Disember 2025, iaitu dari 8.30 pagi hingga 6 petang pada hari bekerja, serta 9 pagi hingga 5 petang pada hari Sabtu.

Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my.