KUANTAN - Rakyat negeri ini berpeluang untuk menyuarakan pandangan dan cadangan menjelang pembentangan Belanjawan Pahang 2026 terus kepada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sempena program Town Hall Rakyat anjuran Sinar Harian pada Selasa depan.
Wan Rosdy berkata, Town Hall Rakyat yang bakal berlangsung di Dewan Dato’ Sri Abdul Manan Ismail di sini merupakan ruang terbaik bagi kerajaan negeri untuk mendengar pandangan dan memahami keperluan serta harapan sebenar rakyat dengan lebih mendalam.
Menurutnya, segala pandangan, cadangan dan teguran yang disuarakan rakyat dapat diperhalusi supaya setiap peruntukan benar-benar berfokus kepada pembangunan negeri serta kepentingan rakyat.
“Saya amat berbesar hati apabila diundang sebagai tetamu buat kali kedua untuk berinteraksi secara langsung, bertukar pandangan dan berbincang tentang masa hadapan negeri bersama rakyat.
“Program ini bagi saya satu peluang baik untuk memahami keperluan dan harapan komuniti dengan lebih mendalam untuk belanjawan nanti,” katanya kepada Sinar Harian.
Pada Town Hall Rakyat itu nanti, Wan Rosdy juga sedia untuk berkongsi bersama rakyat pencapaian negeri termasuk pencapaian mengulangi kutipan hasil melebihi RM1 bilion tahun ini, sekali gus merekodkan kejayaan tersebut untuk empat tahun berturut-turut sejak 2022.
Wan Rosdy yang juga Naib Presiden UMNO turut berhasrat untuk berkongsi perkembangan terkini mengenai negeri Pahang termasuk pelan pembangunan ekonomi dan inisiatif kebajikan rakyat pada program itu nanti.
“Kerajaan negeri prihatin terhadap suara rakyat selain komitmen berterusan dalam memastikan dasar dan pelaksanaan pembangunan benar-benar memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat,” jelasnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai sehubungan itu mengundang rakyat Pahang untuk sama-sama mengikuti program Town Hall Rakyat itu dengan hadir ke lokasi acara atau mengikuti siaran langsung di platform media sosial.
“Saya juga mengalu-alukan anak jati Pahang yang menetap di luar negeri untuk turut serta memberi pandangan dan cadangan.
“Sama-sama kita menjayakan program ini kerana masa depan Pahang yang makmur dan sejahtera bermula dengan suara dan penyertaan aktif rakyatnya sendiri,” tambah beliau.