SUNGAI PETANI - Hujan lebat berterusan sejak tengah malam Khamis menyebabkan enam keluarga di Kampung Bukit Belah di sini, terpaksa dipindahkan selepas kediaman mereka dinaiki air dalam kejadian banjir awal pagi Jumaat.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah dalam satu kenyataan memaklumkan, seramai 15 mangsa telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Belah pada jam 12 tengah hari pada Jumaat.
“Kesemua mangsa merupakan penduduk Mukim Sungai Petani yang terjejas akibat limpahan air selepas hujan tanpa henti sejak malam Khamis.
"Mereka kini ditempatkan di PPS sementara menunggu keadaan cuaca kembali pulih,” menurut kenyataan itu.
Setakat jam 4 petang, PPS berkenaan masih aktif menempatkan semua mangsa, manakala pemantauan terhadap paras air dan keadaan cuaca terus dilakukan oleh pihak berkuasa.
Sementara itu, tinjauan di laman web rasmi Public Infobanjir mendapati dua sungai utama di negeri ini telah melepasi paras bahaya.
Sungai Jarak di Kulim direkodkan pada paras 5.33 meter, manakala Sungai Titi Kerbau di Pendang mencatatkan bacaan 4.27 meter.
Sungai Pedu di daerah Padang Terap pula berada pada tahap waspada dengan bacaan 18.71 meter.
Pihak berkuasa menasihatkan penduduk di kawasan berisiko agar sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan semasa melalui saluran rasmi bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.