KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda yang ke-69 pada Jumaat.
"Merafak Sembah dan setinggi-tinggi tahniah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah.
"Mendoakan ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala semoga Paduka Seri Sultan dan Raja Permaisuri serta seluruh Kerabat Diraja dianugerahkan keafiatan, sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya,” kata Anwar dalam cacatan di Facebook pada Jumaat.
Perdana Menteri turut mendoakan semoga baginda kekal tenteram dalam memerintah negeri Perak Darul Ridzuan dengan adil dan saksama. - Bernama
Zahid rafak sembah tahniah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Perak
KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merafak sembah dan menzahirkan ucapan tahniah kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda yang ke-69 pada Jumaat.
"Menjunjung kasih dan merafak sembah setinggi-tinggi tahniah ke bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau turut mendoakan semoga baginda terus berada dalam limpahan rahmat dan Inayat ALLAH SWT.
"Patik serta rakyat jelata merafak sembah dan mendoakan semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku dikurniakan kesihatan yang baik, usia yang panjang," katanya.
Sementara itu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, turut merakamkan ucapan tahniah sempena ulang tahun keputeraan baginda, selain mendoakan kesejahteraan berpanjangan buat baginda serta seluruh keluarga.
"Semoga ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala melanjutkan usia, mengurniakan kesejahteraan dan keberkatan berpanjangan buat Tuanku serta seluruh Kerabat Diraja Perak," katanya. - Bernama