WASHINGTON - Sidang media Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, di Oval Office terpaksa dihentikan seketika pada Khamis selepas seorang hadirin tiba-tiba rebah ketika acara sedang berlangsung.
Insiden berlaku ketika pentadbiran Trump sedang mengumumkan perjanjian baharu berkaitan penurunan harga ubat pelangsing.
Lelaki berkenaan, dipercayai wakil syarikat farmaseutikal, dilaporkan pengsan ketika berdiri di belakang Presiden Trump.
Jurucakap White House, Karoline Leavitt memaklumkan bahawa individu tersebut telah menerima rawatan segera dan berada dalam keadaan stabil.
“Beliau sedang dirawat oleh doktor dan keadaannya baik,” kata Trump selepas acara disambung semula.
Rakaman langsung menunjukkan beberapa hadirin, termasuk pentadbir Medicare dan Medicaid, Dr Mehmet Oz segera membantu lelaki tersebut dan menurunkannya ke lantai dengan berhati-hati.
Media yang hadir turut diarahkan keluar dari bilik sejurus insiden berlaku.
Identiti individu tersebut belum disahkan secara rasmi, namun laporan awal menyebut nama Gordon Findlay dari syarikat Novo Nordisk, yang kemudiannya dinafikan oleh syarikat berkenaan.
Acara itu bertujuan mengumumkan langkah baharu kerajaan untuk memperluas akses dan menurunkan kos ubat pelangsing seperti Ozempic, yang semakin popular di kalangan pengguna AS. - Awani