CRISTIANO Ronaldo mendakwa bahawa dia lebih kacak berbanding legenda bola sepak, David Beckham sambil menyifatkan dirinya memiliki 'pakej lengkap'.
Kedua-dua bintang ini sering dibandingkan sepanjang kerjaya mereka yang mempunyai laluan hampir sama iaitu bermula dengan kemunculan di Manchester United sebelum berhijrah ke Real Madrid.
Beckham dan Ronaldo bukan sahaja terkenal dalam arena bola sepak, tetapi turut melangkaui sempadan sukan itu untuk menjadi ikon global, terlibat dalam dunia fesyen serta sering menjadi perhatian kerana ketampanan mereka.
Perbincangan mengenai sama ada Ronaldo lebih kacak daripada Beckham timbul ketika beliau muncul dalam rancangan Piers Morgan Uncensored.
Pengacara program tersebut memuji Ronaldo sebagai pemain yang jauh lebih hebat berbanding Beckham, namun bertanya sama ada bintang Portugal itu juga merasakan dirinya lebih menarik dari segi penampilan.
“Anda sering dibandingkan dengan Beckham, termasuk dari segi rupa paras. Adakah anda fikir anda lebih kacak daripada David Beckham?” soal Morgan.
“Itu bergantung,” jawab Ronaldo pada awalnya.
“Bagi saya, rupa paras yang menarik bukan hanya pada wajah, tetapi keseluruhan pakej.
“Bayangkan Cristiano dan seorang lelaki biasa memakai seluar renang merah di Copacabana, anda fikir saya tidak akan menarik perhatian sesiapa?” katanya berseloroh.
Morgan kemudian menekan Ronaldo dengan soalan sama, sebelum bintang berusia 40 tahun itu akhirnya memberikan jawapan penuh keyakinan.
“Anda berjalan di sepanjang Copacabana selama kira-kira 10 minit. Siapa yang akan mendapat lebih banyak perhatian?” tanya Morgan.
“Saya, 100 peratus,” jawab Ronaldo sambil disambut gelak tawa Morgan.
“Saya sudah tahu, saya cuma mahu anda mengakuinya,” balas Morgan sambil ketawa.
Ronaldo kemudian mempertahankan kenyataannya dengan mendakwa bentuk badan Beckham biasa sahaja.
“Dia tahu perkara itu. Wajahnya memang tampan, ya, wajah yang kacak.
“Tetapi selebihnya biasa. Saya tidak biasa, saya 'perfecto',” katanya berseloroh.
Ronaldo turut memuji Beckham dan menyifatkan bekas kapten England itu sebagai seorang yang baik.