'Tolonglah bantu kesan Muhammad Aisy' - Bapa

Iklan
Muhammad Aisy Thaqif Mohd Khalid. - Foto IPD Tangkak

TANGKAK - Seorang bapa bimbang keselamatan anak lelakinya, Muhammad Aisy Thaqif Mohd Khalid, 13, yang dilaporkan hilang di sebuah madrasah di sini sejak dua hari lalu, selepas usaha mencari masih menemui jalan buntu.

Mohd Khalid Abd Samad, 41, menaruh harapan tinggi agar anak keduanya itu ditemukan selamat selepas pelbagai usaha dijalankan untuk mencarinya namun belum berhasil.

Iklan
Iklan

Menurutnya, berita kehilangan Muhammad Aisy Thaqif diketahui selepas dia mendapat panggilan daripada warden madrasah tempat anak lelakinya menuntut di Madrasah Tahfiz al-Quran Zawiyah Darul Madad, Kampung Sagil Parit 1.

"Kehilangannya disedari selepas pihak pengurusan membuat pengiraan dan mendapati seorang daripadanya tiada. Selepas dimaklumkan perkara itu, kami menggerakkan pencarian di merata tempat.

Iklan

"Saya mencarinya sehingga ke Muar serta merata-rata tempat di sekitar Tangkak, namun usaha menjejaknya belum berhasil.

"Saya berdoa semoga dia dilindungi walau di mana berada serta memudahkan usaha pencarian kami," katanya.

Iklan

Menurutnya lagi, kali terakhir dia berjumpa Muhammad Aisy Thaqif pada dua minggu lalu ketika menziarahinya di madrasah terbabit.

"Kami bimbang jika dia mengikut individu berniat tidak baik. Kami berharap semua pihak dapat membantu mengesan Muhammad Aisy Thaqif agar segera ditemukan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib berkata, kehilangan pelajar tahfiz diketahui selepas pihaknya menerima laporan itu daripada pengurusan madrasah di Balai Polis Sagil pada Rabu.

Beliau berkata, pelajar terbabit memiliki fizikal badan kurus berambut pendek dan ketinggiannya 157 sentimeter (cm).

"Sebelum kehilangannya, pelajar terbabit memakai jersi biru gelap dan berseluar paras bawah lutut berwarna hitam dan memiliki garisan putih.

"Kehilanganya dikesan selepas pada petang Selasa lalu di mana mereka ketika itu mengira jumlah pelajar dan mendapati seorang tiada bersamanya," katanya.

Justeru, Roslan berkata, orang ramai mengenali atau mempunyai maklumat lokasi pelajar terbabit boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Nurul Amira Ibrahim di talian 011-61565593.

"Mereka juga boleh menghubungi hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak di talian 06-97812222 atau berhubung dengan mana-mana balai polis berhampiran," katanya.