Lembaran baharu TVET automotif

Iklan
Amirudin

SHAH ALAM — [DIKEMAS KINI]  Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) melakar sejarah baharu apabila akan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama BMW Group Malaysia pada 11 November ini sempena Selangor Techsphere Summit 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Kerjasama strategik itu akan memacu transformasi besar dalam landskap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara melalui pelaksanaan BMW Next Generation Technician (BMW NextGT) Programme, inisiatif latihan berimpak tinggi bagi melahirkan tenaga mahir tempatan bertaraf global.

Iklan
Iklan

Ketua Pegawai Eksekutif STDC, Dr Harizal Hamid berkata, program berkenaan akan memberi peluang kepada tenaga pengajar automotif STDC menjalani latihan intensif berdasarkan BMW Technician Qualification Framework, merangkumi teknologi, amalan penyelenggaraan dan piawaian global BMW.

Dr Harizal

Iklan

“Selepas menamatkan latihan, mereka akan menyalurkan kepakaran kepada pelatih STDC melalui BMW NextGT Programme, sekali gus melahirkan graduan berkemahiran tinggi dan diiktiraf melalui BMW Professional Certificate,” katanya dalam kenyataan.

Majlis menandatangani MoU itu dijangka disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Iklan

Amirudin dalam pada itu berkata, kerjasama itu mencerminkan kepercayaan BMW Group Malaysia terhadap komitmen Selangor dalam membangunkan bakat tempatan seiring peralihan dunia ke arah mobiliti lestari dan elektrifikasi.

“BMW NextGT Programme menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri dalam melahirkan generasi baharu tenaga kerja Malaysia yang bersedia memimpin era automotif masa depan.

"Ia juga memperkukuh pendidikan TVET, memperkasa belia dengan kemahiran bertaraf dunia serta mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai hab teknologi dan inovasi automotif serantau,” katanya.