KLANG - Kerajaan Selangor menyasarkan untuk mendapatkan pengiktirafan Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Global Geopark bagi kawasan Gombak dan Hulu Langat selewat-lewatnya menjelang tahun 2028.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, langkah itu akan dilaksanakan secara berperingkat dengan kerjasama Tourism Selangor dan pakar-pakar berkaitan bagi memastikan semua syarat ditetapkan UNESCO dapat dipenuhi.
“Kita akan menubuhkan jawatankuasa di bawah Tourism Selangor untuk menyelaras usaha ini.
“Kita juga belajar daripada pengalaman negeri Perak yang telah memohon sebelum ini dan saya yakin Selangor memiliki kekuatan serta memenuhi semua kriteria untuk disenaraikan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Graduasi Komuniti Setempat Selangor di sini pada Selasa.
Beliau menjelaskan, kerajaan negeri kini dalam proses menyediakan dokumen dan bukti saintifik berkaitan nilai geologi, biodiversiti dan warisan budaya yang terdapat di kawasan terlibat, termasuk Pusat Kusta Sungai Buloh yang turut mempunyai nilai sejarah tersendiri.
Katanya, beberapa inisiatif awal telah dijalankan termasuk memberi pendedahan kepada komuniti dan pihak berkepentingan mengenai konsep Geopark.
“Selangor belum lagi mempunyai Geopark yang diiktiraf UNESCO, namun saya yakin kita tidak perlu pergi jauh kerana negeri ini mempunyai potensi besar,” jelas beliau.
Dalam pada itu, Suee Lim berkata, Selangor berjaya menarik seramai 4.14 juta pelancong dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Pencapaian itu, katanya, mewakili 51 peratus daripada sasaran keseluruhan lapan juta pelancong sempena Tahun Melawat Selangor 2025.
“Angka ini menunjukkan keyakinan pelancong terhadap keindahan dan keunikan negeri Selangor yang menawarkan pelbagai produk pelancongan menarik,” katanya.
Beliau menjelaskan, antara faktor utama yang menarik kedatangan pelancong ialah keindahan alam semula jadi, kepelbagaian budaya, makanan tempatan yang unik termasuk durian, serta pusat beli-belah bertaraf antarabangsa.
“Selain itu, pelancongan perubatan juga menjadi penyumbang penting. Ramai pelancong dari Indonesia dan China datang ke Selangor untuk mendapatkan rawatan atau pandangan kedua daripada pakar tempatan,” tambah beliau.
Katanya lagi, Selangor turut menonjolkan keberagaman agama dan budaya sebagai antara daya tarikan utama pelancong luar negara.
“Tiga lokasi keagamaan utama yang menjadi tumpuan pelancong ialah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Tokong Fo Guang Shan Dong Zen di Jenjarom dan Kuil Batu Caves yang terkenal dengan anak tangga berwarna-warni,” katanya.