Guthrie muncul tempat pertama dalam penilaian SPOTT minyak sawit dunia

Iklan
Guthrie meraih tempat pertama dalam penilaian tahunan minyak sawit SPOTT.

PETALING JAYA - SD Guthrie Berhad (Guthrie) buat julung-julung kalinya meraih tempat pertama dalam penilaian tahunan minyak sawit SPOTT dengan mencatatkan skor sebanyak 97.5 peratus.

Dalam kenyataan syarikat itu, pencapaian tersebut merupakan satu lagi mercu tanda Guthrie dalam perjalanan kelestariannya sekali gus mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam aspek ketelusan dan pengeluaran minyak sawit lestari.

Iklan
Iklan

SPOTT yang diperkenalkan oleh Zoological Society of London (ZSL), menilai syarikat-syarikat minyak sawit, perhutanan tropika, dan getah asli setiap tahun berdasarkan lebih 100 indikator berhubung faktor-faktor Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) untuk menanda aras kemajuan mereka dari semasa ke semasa.

Ketua Pegawai Kelestarian Guthrie, Rashyid Redza Anwarudin berkata, pencapaian Guthrie itu mencerminkan komitmen syarikat terhadap kebolehkesanan dan sumber bekalan yang bertanggungjawab yang mana kedua-duanya amat penting dalam memperkukuhkan kepercayaan pihak berkepentingan.

Iklan

"Kami berbesar hati kerana usaha berterusan kami untuk meningkatkan kebolehkesanan dan ketelusan pelaporan telah diiktiraf melalui pencapaian skor yang lebih tinggi kali ini.

“Mencapai ketelusan dalam amalan kelestarian di seluruh organisasi kami bukanlah sesuatu yang mudah, memandangkan skala operasi global Guthrie.

Iklan

"Pengiktirafan ini mengukuhkan lagi tekad kami untuk terus meningkatkan lagi piawaian serta memacu perubahan positif dalam industri ini, melalui pelbagai lagi penglibatan dan kerjasama," katanya di sini pada Selasa.

Untuk rekod, Guthrie berada di tempat ketiga dengan skor 94.8 peratus tahun lalu.

SPOTT menilai sejauh mana tahap pendedahan amalan-amalan kelestarian syarikat-syarikat dilaksanakan secara terbuka melalui pendedahan umum dan pelaporan bagi menyokong sektor kewangan dan pihak berkepentingan rantaian bekalan untuk menguruskan risiko ESG.

Bagi industri minyak sawit, sejumlah 100 syarikat pengeluar, pemproses dan pedagang telah dinilai berdasarkan pendedahan awam berhubung organisasi, dasar dan amalan-amalan berkaitan isu ESG yang telah dilaksanakan.

Setiap syarikat menerima skor peratusan yang menanda aras kemajuan mereka dari semasa ke semasa.

Dalam kalangan 10 syarikat teratas SPOTT tahun ini, Guthrie memiliki simpanan tanah terbesar melibatkan pengoperasian di 12 negara dengan operasi huluan di Malaysia, Indonesia, Papua New Guinea dan Kepulauan Solomon serta memenuhi keperluan dan permintaan pelanggan di lebih 80 negara.

Lebih 46,000 pekebun kecil merupakan sebahagian daripada rantaian bekalan Guthrie sekali gus memberi cabaran kepada inisiatif ketelusan yang dilaksanakan syarikat itu.

Menjelang tahun 2035, Guthrie menyasarkan sokongan kepada sekurang-kurangnya 50,000 pekebun kecil bagi mendapatkan akses pasaran yang lebih luas.

Guthrie juga merupakan syarikat minyak sawit pertama dunia dengan sasaran pengurangan pelepasan gas rumah hijau sifar bersih yang diluluskan oleh Science Based Targets initiative (SBTi).