IPOH - Dua lelaki yang tular di media sosial kerana menyamar sebagai anggota polis trafik dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Selasa.
Tertuduh, Wong Jiun Wei, 24, dan Lim Boon Ping, 40, membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan yang dibacakan serentak dalam bahasa Kantonis oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka telah menyamar sebagai anggota polis trafik dan memperdaya dua individu dengan cara meminta wang daripada mangsa untuk tidak mengeluarkan saman atau tidak dibawa ke balai polis.
Kesalahan terbabit dilakukan di hadapan sebuah restoran di Jalan Lebuh Bercham Selamat 1, Taman Ipoh Timur Baru di sini jam 12.38 pagi pada 1 November 2025.
Perbuatan itu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Jiun Wei yang bekerja sebagai juruteknik elektrik turut mengaku bersalah atas satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 89 Akta Polis iaitu memiliki peralatan polis.
Mengikut pertuduhan, dia telah didapati tanpa sebab-sebab yang sah memiliki peralatan polis iaitu sebuah topi berlogo Polis Diraja Malaysia (PDRM) tertulis JSPT iaitu Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik dan kasut JSPT bertulis PDRM.
Perbuatan berkenaan merupakan kesalahan di bawah Seksyen 89 Akta Polis 1967 (Pindaan 2024) yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, peguam kedua-dua tertuduh K Nathan memohon mahkamah agar mengenakan hukuman denda munasabah yang mampu dibayar memadangkan ia kesalahan pertama selain tertuduh memohon maaf atas kesalahan yang dibuat serta mempunyai risiko kehilangan pekerjaan kerana video kesalahan tersebut telah tular di media sosial.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, S Nishaalini memohon mahkamah menjatuhi hukuman setimpal atas tertuduh kerana perbuatan menyamar sebagai anggota polis dan meminta wang daripada orang awam merupakan kesalahan serius.
Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan kemudian menetapkan hukuman denda RM5,000 atau penjara 12 bulan jika gagal membayar denda bagi kedua-dua tertuduh manakala Jiun Wei dikenakan denda tambahan RM2,000 atau penjara selama lima bulan jika gagal membayar denda berkenaan untuk pertuduhan kedua.
Mahkamah turut memerintahkan kesemua barang kes diserah kepada pihak pendakwaan bagi tujuan pelupusan hingga tamat tempoh rayuan.
Sebelum ini media melaporkan seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki menyamar sebagai anggota polis trafik dan meminta wang tunai RM300 daripada seorang penunggang motosikal di hadapan sebuah restoran di Taman Ipoh Timur Baru, Bercham awal pagi Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kejadian itu tular di laman Facebook apabila video memaparkan suspek berpakaian menyerupai anggota polis trafik menahan seorang penunggang motosikal dikongsikan orang ramai.
Menurutnya, siasatan mendapati suspek berusia lingkungan 20-an menahan mangsa dan mendakwa motosikal ditunggang telah diubah suai sebelum meminta wang RM300 sebagai sogokan bagi mengelak daripada disaman.