KUANTAN – aman Gelora di pesisir Teluk Sisek dan bersebelahan pantai menjadi antara lokasi rekreasi paling popular di Kuantan menawarkan pelbagai keindahan semula jadi.
Gabungan kehijauan pepohon, tiupan angin laut yang segar dan panorama pesisir menjadikan taman ini destinasi pilihan penduduk tempatan dan pelawat dari luar untuk beriadah serta bersantai.
Dibangunkan sejak tahun 1980-an, taman seluas kira-kira 26.7 hektar ini menjadi pusat aktiviti komuniti bukan sekadar tempat beristirahat tetapi ruang sosial yang menghubungkan masyarakat dengan alam.
Pada awal pagi, kawasan ini mula dipenuhi pengunjung yang berjoging, berjalan santai atau melakukan senaman ringan di bawah pepohon rhu, menjadikan aktiviti pagi lebih menyegarkan.
Menariknya, Taman Gelora juga turut memiliki kolam besar yang dipenuhi bunga teratai pelbagai warna.
Ia bukan sahaja memperindah landskap, malah mencipta suasana damai yang menjadi tarikan utama pengunjung untuk merakam kenangan.
Di tengah-tengah taman, jambatan gantung yang merentasi kolam menjadi mercu tanda ikonik dan dari situ, pengunjung dapat menikmati pemandangan hijau yang menyejukkan mata.
Ketua Bahagian Perhubungan Awam dan Korporat Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Nor Hayatul Huda Othman berkata, taman ini menjadi tarikan utama bagi mereka beriadah dan bersukan secara santai.
Menurutnya, antara fasiliti disediakan termasuk laluan jogging, alatan senaman, permainan kanak-kanak dan ruang berumput untuk aktiviti berkumpulan seperti yoga, senamrobik serta perkelahan.
“Taman ini turut dilengkapi gelanggang bola jaring dan pencahayaan malam yang membolehkan pengunjung melakukan pelbagai aktiviti.
“Kemudahan asas seperti tandas awam dan kawasan parkir yang luas turut disediakan bagi keselesaan pengunjung,” katanya kepada Sinar Harian.
Bagi mereka yang gemar menikmati pemandangan laut, pantai yang terletak bersebelahan taman turut menjadi tarikan tambahan.
Pengunjung boleh berjalan di pesisir sambil menghirup udara segar atau sekadar duduk menikmati deruan ombak yang memukul pantai dengan tenang.
Pada hujung minggu, suasana taman menjadi lebih hidup dengan kehadiran keluarga dan peniaga kecil yang menjual makanan serta minuman ringan.
Di kawasan berhampiran, Gelora Point menjadi tumpuan untuk menikmati pelbagai hidangan tempatan seperti keropok lekor dan nasi dagang.
Bagi pengunjung, Siti Fatimah Rahman, 30, dari Pekan, Taman Gelora mempunyai daya tarikan tersendiri yang membuatkan dia kerap berkunjung ke sini.
“Suasananya tenang, redup dan selesa dengan persekitarannya sambil menikmati pemandangan laut,” katanya.