'Saya nak awak mati esok'

Iklan
Bapa kepada murid lelaki Tahun Empat yang ditemukan meninggal dunia di tandas sekolah, Muhammad Hafizuddin ketika ditemui pemberita. FOTO SINAR HARIAN/ MOHD HALIM ABDUL WAHID.

KUALA LUMPUR - Bapa kepada murid lelaki Tahun Empat yang ditemukan meninggal dunia di tandas sekolah di Senawang, Negeri Sembilan pada 1 Oktober lalu mendakwa anaknya pernah menerima ugutan mati sehari sebelum kejadian tragis itu berlaku.

Menurut bapa mangsa, Muhammad Hafizuddin Abdullah, 40, arwah anaknya iaitu Iman Zhafran, 10, sempat memberitahu kakaknya tentang ugutan tersebut memandangkan kedua-duanya tidur sebilik.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, kata si bapa, dia hanya mengetahui perkara itu ketika dirinya dan kakak arwah disoal siasat polis sehari selepas insiden.

“Malam sebelum kejadian (Selasa 30 September), Iman mengadu dengan kakaknya yang ada murid ugut nak tengok dia mati esok.

Iklan

“Tapi kakak tak sempat bagitahu kami kerana masa itu kami dah tidur,” katanya.

Dia berkata demikian ketika sidang akhbar bertempat di pejabat peguam bela dan peguam cara Yazid Tishondra, Solaris Mont Kiara, di sini pada Isnin.

Iklan

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, Iman Zhafran ditemukan tidak sedarkan diri di dalam tandas sekolahnya sebelum disahkan meninggal dunia pada 1 Oktober.

Hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan tekanan pada leher dan tiada sebarang kecederaan lain pada tubuh mangsa.

Tambah Muhammad Hafizuddin, pihak polis juga menemui nota tulisan tangan dalam buku milik arwah yang dipercayai mengandungi mesej berbaur ugutan.

“Dalam buku arwah, ada tulisan berbunyi ‘saya nak awak mati… saya tak tahu awak akan masuk syurga atau neraka’. Itu yang polis tunjukkan kepada kami,” ujar mekanik itu.

Justeru, kata bapa mangsa, pihaknya kini menuntut siasatan menyeluruh dan telus bagi mengenal pasti sama ada ugutan itu mempunyai kaitan dengan kematian Iman atau sebaliknya.

“Kami mahukan keadilan. Kalau betul ada unsur buli atau ugutan, siasat sampai habis. Anak saya tak sepatutnya pergi (meninggal dunia) macam ini,” jelasnya sayu.