SERDANG – Misteri kehilangan seorang lelaki warga emas ketika menjala ikan di kawasan longkang besar berhampiran Taman Lestari Putra di sini akhirnya terungkai apabila mangsa dipercayai tersesat sebelum ditemui pada Isnin.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.47 malam Ahad.
"Seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Kembangan bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dikerahkan ke lokasi kejadian.
"Sebaik tiba, pasukan mendapati seorang lelaki warga emas berusia 74 tahun dipercayai hilang ketika menjala ikan di kawasan longkang besar berhampiran taman perumahan berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan dalam radius 1.5 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM), keluarga dan penduduk setempat.
"Ketika pencarian dilakukan, pasukan hanya menemui motosikal milik mangsa di lokasi berkenaan sebelum operasi ditangguhkan pada jam 10.20 malam dan disambung semula pagi ini.
"Mangsa dikenali sebagai Saharun Hashim, ditemui kira-kira jam 9.55 pagi dalam keadaan selamat dan sihat," katanya.
Menurutnya, mangsa yang dipercayai sesat diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk pemeriksaan lanjut.