Pelajar 15 tahun maut, rakan parah ketika berkonvoi

Iklan
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

REMBAU - Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang juga pelajar Kolej Kemahiran Segatromic, Kulim I-Tech maut selepas motosikal ditungganginya bersama rakan terbabas di Kilometer 226.8 Lebuhraya Utara–Selatan pada petang Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.45 petang itu, mangsa dikenali sebagai T Neves Raj, beralamat di Permatang Pauh, Pulau Pinang, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Iklan
Iklan

Mangsa ketika itu menunggang motosikal jenis Honda Vario 160 bersama rakannya, S Uberan, 21, yang turut mengalami cedera parah.

Pembonceng turut mengalami kecederaan parah

Iklan

Mereka dikatakan dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Melaka secara konvoi bersama beberapa rakan lain.

Difahamkan semasa kejadian, dua lagi motosikal konvoi berkenaan telah berada kira-kira empat kilometer di hadapan, manakala mangsa dan pembonceng berada di bahagian belakang kumpulan.

Iklan

Ketua Polis Daerah Rembau, Superintenden Hasani Husein berkata, siasatan awal mendapati motosikal ditunggang mangsa telah hilang kawalan sebelum terbabas ke lorong kecemasan.

Keadaan motosikal yang ditunggang mangsa bersama rakan dari Pulau Pinang.

“Akibat kemalangan itu, penunggang maut di tempat kejadian manakala pembonceng cedera parah di kepala dan menerima rawatan di Zon Merah Hospital Alor Gajah sebelum dipindahkan ke Hospital Besar Melaka pada hari sama,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati mangsa tidak memiliki lesen memandu dan menunggang motosikal milik rakannya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Rembau untuk bedah siasat, manakala motosikal yang terlibat telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.