BALING - Seorang lelaki maut dipercayai terjatuh daripada traktor ketika melakukan kerja di kebun dekat Kampung Bukit Rawa Sedim di sini pada Sabtu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintenden Ahmad Salimi Md Ali berkata, mangsa ditemukan tidak sedarkan diri dengan kesan kecederaan pada muka.
Menurutnya, polis menerima maklumat kira-kira jam 4 petang selepas orang awam melihat lelaki itu terbaring dalam keadaan berlumuran darah.
"Pasukan polis bersama pegawai penyiasat segera ke lokasi sebelum mengesahkan mangsa merupakan lelaki tempatan berusia 28 tahun yang beralamat di Kampung Gelugor, Karangan, Kedah.
“Siasatan awal mendapati mangsa pergi ke kebun bersama seorang penjaga kebun untuk melakukan kerja pembersihan," katanya.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Baling untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.