Lempeng, Beppa Pute cipta Malaysia Book of Records

Iklan
Formasi Rumah Api Kuala Selangor yang berukuran 27 meter panjang dan 8 meter tinggi dibina sepenuhnya menggunakan kuih Beppa Pute diiktiraf sebagai MBOR semasa Festival Makanan Warisan Negeri Selangor di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Kuala Selangor pada Sabtu.

KUALA SELANGOR – Festival Makanan Warisan Selangor tahun ini mencipta sejarah apabila berjaya meraih dua pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR).

Pencapaian itu diraih menerusi dua usaha luar biasa, iaitu edaran Lempeng Sagu Biji Mata Ikan terbanyak sebanyak 4,500 keping dan pembinaan formasi Rumah Api Kuala Selangor terbesar menggunakan 55,000 keping kuih Beppa Pute.

Iklan
Iklan

Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah berkata, kejayaan itu bukan sahaja mengangkat warisan kulinari negeri, tetapi turut menjadi simbol perpaduan dan semangat gotong-royong masyarakat setempat.

"Pencapaian ini membuktikan makanan tradisional Selangor masih mendapat tempat di hati rakyat dan lebih membanggakan, ia turut mencipta rekod dalam MBOR,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Festival Makanan Warisan Negeri Selangor di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Kuala Selangor di sini pada Sabtu.

Formasi Rumah Api Kuala Selangor yang berukuran 27 meter panjang dan 8 meter tinggi dibina sepenuhnya menggunakan kuih Beppa Pute diiktiraf sebagai MBOR semasa Festival Makanan Warisan Negeri Selangor di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Kuala Selangor pada Sabtu.

Iklan

Festival itu turut menampilkan pelbagai pengisian menarik termasuk Pavilion Makanan Warisan, Jualan Ehsan Rahmah, Pertandingan Masakan Warisan, Memanah Tradisi, Tarik Tali dan Pasar Kuih Dulu-Dulu yang membangkitkan nostalgia rasa kampung halaman.

Borhan menjelaskan, formasi Rumah Api Kuala Selangor yang berukuran 27 meter panjang dan 8 meter tinggi dibina sepenuhnya menggunakan kuih tradisional masyarakat Bugis, iaitu Beppa Pute sekali gus menggambarkan penghargaan terhadap sumbangan masyarakat itu dalam sejarah pembentukan Kuala Selangor dan Kesultanan Selangor.

"Beppa Pute atau 'kuih putih' lazimnya dihidangkan dalam majlis perkahwinan masyarakat Bugis sebagai simbol keberkatan dan keharmonian keluarga.

"Lempeng Sagu Biji Mata Ikan, hidangan tradisional popular sekitar 1950-an hingga 1970-an di Kuala Selangor, Sepang dan Kuala Langat, turut menjadi tumpuan utama festival kali ini," tambah beliau.

Borhan berkata, usaha memperkenalkan semula makanan warisan ini sejajar dengan komitmen kerajaan negeri untuk menjadikan sektor budaya, adat istiadat Melayu dan pelancongan komuniti sebagai pemangkin ekonomi baharu yang lestari dan berdaya saing.

"Dengan penyertaan usahawan kecil dan penjaja desa, kita bukan sekadar memelihara warisan, tetapi turut menjadikannya sumber rezeki yang berpotensi besar,” katanya.