Lelaki maut kereta terjunam sebelum dihempap tiang elektrik

Iklan
Kereta dinaiki mangsa dihempap tiang elektrik dalam kejadian kemalangan di Jalan Lenggong–Kuala Kangsar, Kampung Kelantan pada Sabtu.

LENGGONG – Seorang lelaki berusia 28 tahun maut selepas kereta dipandunya terjunam ke bawah bukit sebelum dihempap tiang elektrik di Jalan Lenggong–Kuala Kangsar, Kampung Kelantan di sini, pagi Sabtu.

Pemangku Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.28 pagi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sepasukan 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lenggong digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 16 kilometer dan tiba pada jam 7.42 pagi.

"Sebaik tiba, didapati sebuah kereta jenis Honda Accord telah terbabas lalu melanggar tiang elektrik sebelum terjunam ke kawasan bawah bukit berhampiran halaman rumah penduduk.

Iklan

"Kemalangan itu melibatkan seorang lelaki berusia 28 tahun yang tersepit dan dihempap oleh tiang elektrik yang tumbang,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Shazlean berkata, kerja-kerja penyelamatan dilakukan menggunakan peralatan hidraulik selepas pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) selesai memotong bekalan elektrik di kawasan berkenaan.

Iklan

"Anggota kemudian mengalihkan tiang yang menghempap mangsa sebelum berjaya mengeluarkannya.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian," ujarnya.

Tambah beliau, operasi tamat sepenuhnya pada jam 9.50 pagi dengan bantuan lima anggota polis, dua petugas KKM dan dua kakitangan TNB.

Sementara itu, di Kampar, dua individu cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan dua lori di Jalan Temoh menghala ke Tapah pada Sabtu.

Shazlean berkata, sepasukan anggota dari BBP Kampar dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 5.01 pagi.

"Setibanya jentera di tempat kejadian, didapati dua mangsa iaitu seorang lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 60-an menaiki kereta Perodua Axia tersepit dan mengalami kecederaan.

"Mangsa di dalam kedua-dua lori tidak mengalami sebarang kecederaan. Terdapat juga sebatang tiang elektrik tumbang akibat pelanggaran tersebut,” katanya.

Menurut Shazlean, kerja-kerja penyelamatan menggunakan peralatan hidraulik dilakukan sehingga kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan sebelum dihantar ke hospital bagi rawatan lanjut.

"Anggota turut membuat pemantauan sepanjang operasi pengalihan tiang elektrik yang tumbang merintangi jalan.

"Kerja pembersihan turut dilakukan melibatkan serpihan kenderaan dan tumpahan minyak di atas jalan,” katanya.

Beliau berkata, operasi itu tamat sepenuhnya pada jam 7.43 pagi.