Masih mahu bakar Lynas?
LEBIH satu dekad lalu, Malaysia pernah menyaksikan kebangkitan sebuah gerakan rakyat yang dinamakan ‘Himpunan Hijau’. Gerakan ini ditubuhkan sekitar tahun 2011 dengan matlamat yang jelas — menutup kilang nadir bumi Lynas di Kuantan, melindungi sumber air serta kesihatan awam dan menolak usaha menjadikan Malaysia ‘tapak pembuangan industri beracun dunia’.
Ketika itu, parti-parti utama Pakatan Rakyat — PKR dan DAP — merupakan penyokong tegar gerakan ini. Pengasasnya, Wong Tack sering tampil lantang mengkritik kerajaan Barisan Nasional (BN) yang meluluskan operasi Lynas. Beliau menjadi wajah utama gerakan hijau, turun ke jalanan, menganjurkan protes dan demonstrasi serta menyeru rakyat menolak kerajaan BN kerana kononnya menggadai nyawa rakyat demi pelaburan asing.