Tuan rumah perhimpunan PR seluruh dunia

Iklan
Syed Mohammed Idid Syed Ahmad Idid

SHAH ALAM - Persatuan Pengamal Perhubungan Awam Malaysia (PRactitioners) akan menganjurkan Persidangan dan Festival Perhubungan Awam Global 2025 (GPRCFMY) yang akan berlangsung dari 13 hingga 15 November 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Persidangan yang julung kali diadakan itu akan menghimpunkan pengamal perhubungan awam dan pemimpin komunikasi dari seluruh dunia dengan tema 'Humanity Amplified: Redefining Public Relations in the Age of Intelligence'.

Iklan
Iklan

Timbalan Pengerusi PRactitioners, Syed Mohammed Idid Syed Ahmad Idid berkata, festival yang menjadi platform pertukaran ilmu dan kerjasama serantau itu menyasarkan untuk mengumpulkan lebih 600 delegasi termasuk 250 peserta antarabangsa.

"Persidangan itu menampilkan panel antaranya bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin; Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, Edgard D Kagan; Pesuruhjaya Tinggi Singapura, Vanu Gopala Menon dan Pakar Ekonomi Bank Dunia, Dr Apurva Sanghi.

Iklan

"Ucaptama akan disampaikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan pelancaran Laporan Hab Kesan ESG Asean oleh Malaysia dan Brunei serta lawan web Practitioners disempurnakan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.

Menurut beliau, GPRCFMY akan menampilkan barisan penceramah yang terkenal, termasuk pemimpin korporat, pakar PR dan ahli akademik tempatan dan luar negara.

Iklan

"Walaupun PRactitioners masih muda, program ini menjadi tumpuan peserta daripada AS, Afrika, Australia, China dan kita juga memperuntukkan 200 kerusi kepada penuntut universiti.

"Festival ini merupakan peluang untuk memfokuskan peranan perhubungan awam di peringkat serantau sekali gus meningkatkan kapasiti dan perspektif mereka berkaitan strategi, etika, integiriti serta kecerdasan buatan (AI) yang menjadi sebahagian perbincangan," katanya.

Jelas beliau, program dwi tahunan itu mengenakan yuran penyertaan sebanyak RM3,500 dengan akses kepada sesi kelas master, pameran perdagangan, sijil penyertaan, jemputan makan malam gala yang akan dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.